Shaiful Sifatkan Syed Saddiq Terlepas Pandang, Buat-buat Lupa Memo Yang Bocor
ALOR SETAR, 8 Sept – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menganggap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman terlepas pandang berhubung memo pasukan penyiasat pendakwaan yang bocor, mengesyorkan bahawa pendakwaan yang bakal dilakukan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah lemah.
Malah menurut beliau, “mungkin Syed Saddiq terlupa ataupun buat-buat lupa bahawa kabinet telah membuat keputusan bahawa perlu diwujudkan sebuah Suruhanjaya di-Raja bagi menyiasat tulisan bekas peguam negara di dalam memoirnya.
“Memoir tersebut menyatakan beberapa keculasan pertimbangan perundangan dan campur tangan jelas mantan Perdana Menteri Ke-7 untuk mempengaruhi beberapa keputusan kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.
Shaiful yang juga Ketua UMNO Merbok seterusnya berkata Ahli Parlimen Muar itu juga mungkin terlepas pandang bahawa pemimpin UMNO tidak pernah gentar atau takut berhadapan dengan proses undang-undang.
Tambahnya, Najib sendiri telah didapati bersalah dan sedang menjalani hukuman manakala Ahmad Zahid sendiri bergelumang dalam proses ini selama lima tahun sebelum pasukan pendakwaan membuat keputusan untuk menghentikan pendakwaan.
“Namun kita belum mendengar kelantangan Syed Saddiq mengkritik mantan Perdana Menteri ke-7 berhubung memoir bekas Peguam Negara. Saya juga belum dengar desakan dan teguran pedas Syed Saddiq terhadap hadirnya dua memo yang dipercayai bocor daripada Jabatan Peguam Negara.
“Walaupun ianya adalah kuasa mutlak Peguam Negara pada waktu itu, namun dalam kes berprofil tinggi, Jabatan Peguam Negara seharusnya tampil dengan penjelasan yang khusus, kenapa pendakwaan wajar diteruskan,” ujarnya.
Shaiful turut menasihati Syed Saddiq agar mengadakan sesi kunjungan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penjelasan yang lebih lengkap dan terperinci.
“Pada pandangan saya, daripada menghalakan muncung tembakan terhadap kerajaan, Perdana Menteri ataupun Datuk Seri Zahid sendiri, sewajarnya MUDA buat kunjungan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penjelasan yang lebih lengkap dan terperinci.
“Sekiranya tak puas hati nak keluar daripada Kerajaan Perpaduan adalah amat dialu-alukan.” tambahnya lagi. – UMNO ONLINE