PRK: Jangan Akibat Sentimen, Kemakmuran Negeri Tergadai – Noor Azleen

JOHOR BAHRU, 8 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros mengingatkan rakyat di Pulai dan Simpang Jeram untuk tidak menggadaikan kemakmuran negeri Johor kerana dipengaruhi oleh sentimen pihak lawan.

Jelasnya, beliau mengakui bahawa tidak mudah untuk akar umbi UMNO dan orang Melayu ‘memangkah’ selain daripada ‘dacing’ ketika musim pilihan raya sebelum ini.

“Pemuda UMNO Johor mengakui dengan jujur dan insaf bahawa memang tidak mudah untuk akar umbi UMNO dan orang Melayu mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor kali ini.

“Bagi akar umbi UMNO, selama puluhan tahun dan melalui pelbagai episod pilihan raya, mereka tidak pernah mengenal apatah lagi memangkah selain ‘logo dacing’ pada kertas undi.

“Bagi orang Melayu, kita mengerti betapa masih ada syak dan sangsi, terutamanya melihatkan personaliti tertentu, dan pelbagai isu nasional kebelakangan ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, kestabilan kerajaan negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjadi pertaruhan utama pada PRK ini.

“Namun, untuk PRK di Simpang Jeram, kita semua terpaksa melihat gambaran yang lebih besar.

“Dalam PRK kali ini, yang turut akan menjadi taruhan adalah kestabilan Kerajaan Negeri Johor, bawah pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Kepada akar umbi UMNO dan orang Melayu, pertimbangkanlah segala usaha dan pencapaian Datuk Onn Hafiz selama hampir dua tahun ini. Bantulah pemimpin negeri kita ini, yang menyimpan wawasan dan cita-cita besar untuk bangsanya,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan para pengundi agar berfikir secara rasional dan tidak bertindak mengikut emosi ketika melaksanakan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat.

“Impian untuk membina negeri dan bangsa kelas pertama, masyarakat yang makmur, bersatu-padu dan sejahtera.

“Kalau sukar bagi orang Melayu percaya kepada Pakatan Harapan, kita faham dan mengerti. Kalau itu terlalu sukar, setidak-tidaknya percayalah kepada Datuk Onn Hafiz. Kalau tidak sanggup sokong parti lain, setidak-tidaknya anggaplah ini sebagai cara untuk membantu Datuk Onn Hafiz sebagai pemimpin Johor.

“Jangan kerana nyamuk, kelambu di bakar. Jangan kerana sentimen dan pengaruh luar, kemakmuran negeri kita menjadi korban sekaligus tergadai,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit