Kekalkan Kestabilan Johor Sebagai Negeri Barisan Hadapan Ekonomi Malaysia
MUAR, 4 Sept – Rakyat Johor, khususnya pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram dan Pulai, perlu memastikan kemenangan berpihak kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi mengukuhkan pentadbiran sedia ada sekali gus menguatkan lagi negeri itu sebagai barisan hadapan ekonomi Malaysia.
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Johor yang sudah maju di bawah pentadbiran gabungan itu sebelum ini dilihat makin kukuh dan kuat di bawah gandingan BN-PH.
“Saya percaya kalau calon kita daripada Parti Amanah (PH) dengan didukung oleh BN menang, insya-Allah Johor akan menjadi lebih kuat lagi selepas ini. Biarlah orang Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan cara dia. Ini negeri barisan hadapan kepada pintu masuk Malaysia dan pintu masuk pelabur.
“Ini negeri pintu masuk peluang pekerjaan, pintu masuk bawa modal luar datang. Kalau Johor senang, mata wang kita akan lebih kuat, kalau mata wang kuat barang-barang akan jadi lebih murah, rakyat makin sejahtera dan kita mahu tunjukkan politik kita stabil, sekarang sudah tak berantakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan MADANI PRK Simpang Jeram di Sungai Abong di sini malam tadi yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PH bagi kerusi itu, Nazri Abdul Rahman.
Justeru, Ahmad Shabery berkata Johor tidak boleh dibiarkan ’goyang’ dengan usaha parti pembangkang yang kononnya mahu menakluki negeri itu sedangkan isu air di negeri berkaitan pun tidak dapat diselesaikan.
“Jangan benarkan parti yang bertapak kuat dari Kelantan ‘mengKelantankan’ negeri Johor, Johor mesti jadi contoh model masyarakat aman damai, semua kaum bersatu padu bangunkan Johor,” katanya. – BERNAMA