Wakil Rakyat Dibantu Atau Membantu? Soal Jalaluddin

JELEBU, 3 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berpandangan semasa berkempen terdapat sebuah parti politik tidak lekang memainkan persepsi, emosi dan propaganda kononnya mereka satu-satunya parti yang mampu menjaga rakyat dari terperosok ke lembah kesusahan.

Menerusi satu kenyataan yang disiarkan di Facebook, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, jika didengar ceramah dari parti berkenaan mereka sahaja yang cerdik dalam tadbir urus rakyat.

“Namun selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) tempoh hari, terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti tersebut yang secara terbuka meminta pertolongan rakyat untuk membuka pusat khidmat di kawasan masing-masing.

“Sanggup buat hebahan umum meminta infaq dan bantuan wang dari rakyat untuk membeli peralatan pejabat ADUN di kawasan yang mereka sendiri menang.

“Persoalannya, di mana maruah seorang wakil rakyat yang digelar ‘Yang Berhormat’ sehingga sanggup meminta-minta dari rakyat? Apakah mereka sedar tindakan sebegini seolah-olah telah mempersenda mandat kemenangan yang telah diberikan oleh rakyat semasa pilihan raya?” soalnya.

Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata sepanjang Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri mahu pun negara tidak pernah sesekali meminta ihsan dari rakyat.

“Mana-mana wakil rakyat dari BN tidak pernah sesekali berbuat demikian dengan meminta-minta ihsan rakyat untuk urusan yang menjadi tanggungjawab kepada seorang wakil rakyat, malah rakan dari Pakatan Harapan (PH) juga tidak pernah berbuat demikian.

“Wakil rakyat dari BN sentiasa sedar bahawa rakyat yang harus dibantu. Bukannya setelah memohon mandat kita pula yang meminta wang ringgit mereka untuk menyelesaikan tugas. Ini jelas membuktikan parti tersebut tidak mampu mengurus diri sendiri dan hanya menang sekadar mainan persepsi semata-mata.

“Sekiranya situasi sebegini terus bermain dalam kancah politik tanah air, proses pembelaan terhadap rakyat di kampung-kampung dan bandar-bandar akan semakin merosak dan merugikan rakyat bagi penggal tersebut,” ujarnya.

Justeru beliau turut berpesan para pengundi terutamanya anak muda berfikir matang dalam membuat pilihan yang tepat.

“Ayuh… para pengundi anak muda buatlah pilihan dalam pilihan raya mengikut kewarasan fikiran dan bukan sekadar emosi serta persepsi. Pilihlah calon wakil rakyat anda dari parti yang berpadu, stabil dan makmur,” jelas beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.