Nazri Abdul Rahman Dikenali, Disenangi Rakyat DUN Simpang Jeram – Azman

BAKRI, 1 Sept – Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail berkeyakinan bahawa calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Ir Nazri Abdul Rahman adalah calon yang berwibawa bagi mempertahankan kerusi ini.

Katanya, beliau cukup dikenali dan mudah diterima oleh masyarakat tempatan lebih-lebih lagi beliau anak jati di kawasan Simpang Jeram.

“Saya yakin calon yang ada di PRK Simpang Jeram ini adalah calon yang terbaik. Penerimaan masyarakat di sini terhadap beliau begitu mudah dan senang. Calon yang diketengahkan oleh PN (Perikatan Nasional) bukan anak tempatan, paling penting calon PH (Pakatan Harapan) adalah anak tempatan.

“Dengan pengalaman beliau yang ada sebagai jurutera dan kebanyakan masalah yang ada di Simpang Jeram ini seperti musibah banjir kilat dapat diselesaikan segera.

“Apabila beliau sebagai calon PRK Simpang Jeram ini dan nampak kerjasama Barisan Nasional (BN)/PH lebih mudah. Beliau banyak menyelesaikan permasalahan masyarakat di sini,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Dalam masa yang sama Azman mengingatkan kepada semua pengundi di Simpang Jeram agar membuat pilihan yang tepat bagi memastikan kerajaan negeri seiring dengan pusat.

“Buatlah pilihan yang bijak, kita nak satu kerajaan yang sama dan seiring dengan kerajaan negeri serta sama dengan kerajaan Persekutuan, barulah boleh minta macam-macam tambahan infrastruktur dan bangunkan kawasan yang ada di Simpang Jeram.

“Mana-mana kerajaan memerintah sudah pasti kerajaan tersebut akan mengutamakan kawasan yang menyokongnya. Kita mahukan penduduk di Simpang Jeram ini buat pilihan yang bijak dan keluar mengundi pada 9 September ini dan undilah PH,” ujarnya.

Bagi kerusi DUN Simpang Jeram melibatkan pertembungan tiga penjuru antara calon PH Nazri Abdul Rahman, calon PN Dr Mohd Mazri Yahya dan calon bebas S Jeganathan.

Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahudin Ayub, 61, pada 23 Julai lepas di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, akibat pendarahan otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos dan hari pengundian pada 9 Sept. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.