Pertahankan Kelangsungan UMNO, Tambat Hati Anak Muda Dalam Garapan Parti – Aliff Hilmi

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – UMNO tidak lagi boleh memencilkan peranan generasi muda kerana kelompok itu penting dalam membangunkan semula dan mempertahankan kelangsungan parti, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Mohamad Aliff Hilmi.

Menurutnya, pasca- Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini perlu diaplikasi bagi menambat kembali hati anak muda dengan satu garapan yang baharu serta kaedah baharu susulan kekalahan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang baru selesai melakukan ‘post mortem’ baru-baru ini harapkan segala input yang diterima dan diteliti dalam satu garapan kaedah baharu bagi menambat kembali minat anak muda kepada UMNO.

“Saya yakin UMNO dapat kembali mengambil hati orang Melayu sekiranya beberapa perkara dapat diubah dan disusun kembali kerana masih ramai orang di luar sana yang sayangkan UMNO.

“Kita perlu bangkit kembali dan bertekad mengembalikan kegemilangan UMNO sebagai sebuah parti terbesar Melayu di negara ini. UMNO tidak akan hilang dan tidak akan pupus selama-lamanya,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Seterusnya kata Ketua Pemuda UMNO Bukit Bendera ini, sekarang ini masih ramai yang belum yakin akan gabungan UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

“Ini jelas terbukti bahawa pada PRN lalu saluran satu, dua dan tiga kalah tetapi sewajarnya menang seperti pilihan raya terdahulu. Faktor ini memainkan peranan besar kerana mereka merupakan pengundi putih ‘fix deposit’, namun mereka telah hilang keyakinan terhadap perjalanan semasa UMNO.

“Sudah semestinya semua pihak perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk mengembalikan keyakinan ahli UMNO khususnya kepada orang lama. Jika perkara ini tidak dapat dilaksanakan, UMNO akan terus dihukum oleh ahlinya sendiri pada masa hadapan,” ujarnya.

Tambah Aliff, umum mengetahui peranan dan undi anak muda memainkan peranan yang sangat penting dalam mana-mana Pilihan Raya Umum(PRU), PRN mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK) walau pun mereka terpengaruh dengan media sosial.

“Anak muda kini kerap dimomokkan melalui media massa dengan propaganda masalah dalaman UMNO sehinggakan mereka melihat parti selain daripada UMNO adalah yang terbaik walhalnya parti inilah yang paling ke depan terutamanya dalam perihal menjaga kebajikan rakyat,” jelas beliau lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.