Prestasi UMNO/BN Terkesan Akibat Sentimen Identiti Keetnikan Pihak Pembangkang – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Prestasi UMNO/Barisan Nasional (BN) terkesan dengan sentimen dari kalangan rakyat yang ditiupkan melalui idea-idea politik identiti keetnikan dari pihak pembangkang bermula sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, berdasarkan PRN lalu, Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan status quo terhadap penguasaan tiga negeri dan memperoleh undi popular melebihi Perikatan Nasional (PN).

“Secara asasnya, Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan status quo terhadap penguasaan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Dari segi undi popular keseluruhan, Kerajaan Perpaduan berjaya meraih undi melebihi undi yang diraih oleh Perikatan Nasional iaitu sebanyak 17,017.

“Prestasi ini mengukuhkan legitimasi Kerajaan Perpaduan bukan sahaja di peringkat negeri, malahan di peringkat persekutuan,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut beliau beranggapan bahawa UMNO/BN sedang berhadapan dengan situasi mencabar untuk menembusi kerusi-kerusi Melayu yang selama ini menjadi kubu kuat parti itu.

“Disebalik pencapaian undi popular, UMNO/BN berhadapan situasi yang mencabar untuk menembusi kerusi-kerusi Melayu yang selama ini menjadi kubu kuatnya dalam tempoh enam dekad sebelum ini.

“Prestasi UMNO terkesan dengan sentimen dari kalangan rakyat yang ditiupkan dengan idea-idea politik identiti keetnikan dari parti pembangkang,” katanya lagi.

Tegasnya, usaha keras diperlukan untuk mendamaikan polarisasi politik keetnikan agar ianya menuju ke arah kesederhanaan.

“Sentimen ini berbeza berbanding pembawaan UMNO-BN untuk membawa Malaysia ke arah kesederhanaan dalam bentuk perkongsian kuasa antara kaum yang merefleksi populasi Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya.

“Justeru, usaha keras perlu dilakukan untuk mendamaikan polarisasi politik keetnikan antara pihak kiri dan kanan ke arah kesederhanaan,” katanya lagi.

Keputusan PRN bagi keenam-enam negeri memperlihatkan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan tiga negeri sedia ada iaitu Pulau Pinang, Selangor dan juga Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) turut kekal bertahan di tiga negeri lagi iaitu Kedah, Terengganu dan juga Kelantan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.