Pendirian UMNO Kedah Kekalkan Presiden UMNO Adalah Tepat
ALOR SETAR, 22 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyambut baik dan menyokong keputusan yang diputuskan di dalam Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memberi sepenuh keyakinan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO.
Menurutnya, pendirian UMNO Kedah adalah jelas untuk menolak sebarang usaha untuk melemahkan semangat parti dengan desakan mengetepi atau memaksa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya meletak jawatan tanpa menggunakan saluran demokrasi yang betul.
Ulasnya, UMNO di dalam fasa untuk memperbaiki dan membina semula parti.
“Sekarang ialah masa untuk membina semula parti dan proses untuk membina semula UMNO harus digalas dan dilaksanakan secara kolektif oleh segenap lapisan kepimpinan daripada peringkat pucuk pimpinan pusat sehinggalah ke peringkat bahagian serta cawangan di seluruh negara.”
Shaiful yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok menegaskan bahawa sebarang desakan terhadap Presiden UMNO untuk meletakkan jawatan adalah sebenarnya usaha untuk melemahkan parti.
Dalam pada itu, Shaiful juga mengambil PKR sebagai contoh sebuah parti politik yang matang dan kembali memperkukuhkan parti bersama ahli-ahli yang masih setia dan kemudiannya bangkit untuk menerajui semula negara.
“Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mengalami proses pembersihan parti besar-besaran setelah siri pengkhianatan oleh kumpulan Datuk Seri Azmin Ali yang membawa ribuan ahli parti untuk turut juga keluar daripada parti.
“Justeru, adalah penting untuk UMNO kembali stabil dan supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden UMNO dalam tempoh usaha memperkukuhkan kembali UMNO di pentas politik dan pentadbiran negara,” ujarnya. – UMNO Online