Susah Senang UMNO Tanggungjawab Bersama, Jangan Saling Tuding Jari
1. Pasca-PRN masih lagi jadi perbincangan. Sehubungan itu saya menyeru semua pihak termasuk kepimpinan pelbagai peringkat hinggalah kepada anggota parti di akar umbi agar tidak terpengaruh dengan anasir negatif yang menyalahkan satu-satu pihak/individu dengan kesan pada akhirnya hanya akan memburukkan keadaan.
2. Ini adalah berkaitan gesaan dari segelintir pihak termasuklah di luar dari UMNO yang menuding jari kepada Pengerusi BN/Presiden UMNO untuk bertanggungjawab atas keputusan PRN lalu meletak jawatan.
3. Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang dangkal, apatah lagi gesaan ini turut datang dari pihak luar yang sememangnya mahu melihat UMNO berkubur. Fikirkanlah kembali, sejak BN kalah dalam PRU 2018, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memikul tanggangjawab dalam memastikan perjuangan UMNO terus wujud dan tidak terkubur.
Jika benar beliau pentingkan diri sudah pastilah beliau tidak berhadapan dengan tindakan perundangan hinggakan terpaksa turun naik mahkamah bertahun-tahun malah berdepan pelbagai cacian serta kejian dari pihak lawan.
4. Ahli-ahli UMNO perlu memikirkan secara bernas berkaitan situasi semasa malah jika dilihat dari keputusan PRN enam negeri baru-baru ini, sebenarnya bukan hanya BN yang menyusut dalam mendapat kerusi kerana ia berlaku juga pada parti-parti lain termasuklah PPBM yang mengalaminya.
Lihatlah DUN di Terengganu, Kedah dan Kelantan majoriti kemenangan PN adalah dari Pas dan bukanlah dari PPBM. Justeru tiada pula gesaan untuk Tan Sri Muhyiddin letak jawatan waima sebelum ini dalam PRN Melaka dan PRN Johor pun mereka kalah teruk.
5. Sehubungan itu, saya sarankan agar kita ahli-ahli UMNO sama-sama muhasabah diri. Buangkanlah sifat menuding jari sesama sendiri apatah lagi terhadap organisasi Presiden yang perlu kita hormati. Janganlah sesekali kita lupa terhadap wadah perjuangan UMNO selaku parti politik yang mendukung cita-cita Kebangsaan demi agama, bangsa dan negara.
6. Usahlah kita sesama dalam keluarga UMNO saling menyalahkan kerana yang terbaik adalah menolak apa-apa sahaja anasir negatif demi tekad memperkukuh matlamat perjuangan UMNO. Janganlah ada lagi tindakan lantang yang saling mengguris dan menyanggah kerana selagi kita bertelagah maka pihak lawan yang akan mendapat untung.
Inilah matlamat utama mereka iaitu mahu agar UMNO sentiasa bercakaran dan tidak kembali berpadu; maka janganlah kita jadikan impian pihak lawan untuk menguburkan UMNO sebagai realiti.
7. Lebih penting lagi, musuh UMNO hari ini juga termasuklah mereka yang pernah mendapat laba hasil dari UMNO, pernah diangkat menjadi menteri kerana UMNO, mendapat kesenangan dan kaya-raya juga kerana UMNO namun kini memilih menjadi seteru. Sememangnya mereka adalah orang-orang kecewa yang telah dibuang dari parti dan bertentangan ideologi perjuangan lantas kini sanggup menikam parti yang memberinya ‘makan’ lantaran sudah tidak sehaluan.
8. Tugas kita selaku pendukung UMNO adalah untuk bertaut kembali dan perkukuh semula jalinan ikatan hingga ke akar umbi kerana masa hadapan yang lebih panjang adalah amat penting. Gerak kerja dan tingkah kita perlu selari dengan matlamat bagi mengangkat parti ini berteraskan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Bendahari UMNO
**************************************