Pasca-PRN: UMNO/BN Perlu Berubah Ikut Selera Rakyat – Nurhisam
DUNGUN, 17 Ogos – Pendukung dan pejuang parti perlu melakukan perubahan terhadap UMNO/Barisan Nasional (BN) mengikut selera terkini rakyat untuk menarik semula sokongan mereka yang semakin terhakis pada ketika ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Nurhisam Johari berkata, keputusan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu wajar dihormati dan tindakan menuding jari kepada individu tertentu adalah tidak wajar.
“Kita wajar menghormati keputusan yang telah ditentukan oleh rakyat atas kertas undi. Semua pemimpin parti perlu menerima hakikat dengan apa yang telah diputuskan rakyat pada PRN 2023.
“Semua ahli UMNO tidak mengira peringkat perlu bermuhasabah. Masa ini tidak wajar untuk menuding jari menyalahkan sesiapa akibat kekalahan parti.
“Hari ini, semua ahli dan pemimpin parti perlu menelan serta menerima hakikat bahawasanya majoriti orang Melayu telah menolak… tidak menyokong parti teras orang Melayu ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Jelasnya, masih ada masa untuk menjenamakan semula parti keramat ini agar tidak dihukum lagi dalam episod pilihan raya akan datang.
“Justeru, kita sebagai pendokong dan pejuang parti perlu melakukan perubahan mengikut selera rakyat hari ini. Masih ada masa untuk menjenamakan semula parti keramat ini. Terpulanglah kepada jati diri masing-masing samada mahu berubah atau mahu dihukum lagi dalam episod pilihan raya akan datang.
“Ini adalah masa terbaik untuk memperbaiki kelemahan dalaman dan luaran organisasi parti. Kita masih diberikan masa untuk merencanakan segala gerak kerja serta strategi bagi menawan kembali hati mengikut kehendak rakyat akar umbi.
“Ayuh bersama kita realisasikan kembali wadah perjuangan parti keramat suci ini agar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kita tidak akan menerima kekalahan lagi,” katanya lagi.
Keputusan PRN bagi keenam-enam negeri memperlihatkan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan tiga negeri sedia ada iaitu Pulau Pinang, Selangor dan juga Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) turut kekal bertahan di tiga negeri lagi iaitu Kedah, Terengganu dan juga Kelantan. – UMNO Online