Kerajaan Perpaduan PH-BN Menang Bergaya, Raih 31 Kerusi Dun Di Negeri Sembilan
SEREMBAN, 13 Ogos – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mencipta kemenangan bergaya apabila menguasai 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi PH negeri Datuk Seri Aminuddin Harun berkata hasil kerja keras dan sokongan padu semua kepimpinan parti, PH berjaya memenangi 17 kerusi sementara BN 14 kerusi meskipun kedua-dua parti sebelum ini merupakan seteru utama setiap kali pilihan raya.
“Ini kemenangan indah kerana sebelum ini kita bersaing… tidak pernah terfikir kami dapat bekerja sebagai satu pasukan dan kemenangan ini kita raikan bersama. Saya yakin masyarakat melihat gabungan ini sebagai pasukan terbaik yang dapat memberi kebaikan kepada rakyat di Negeri Sembilan.
“Kita menang dua pertiga dengan pelbagai latar belakang, pelbagai profesion untuk mentadbir negeri ini dengan lebih cemerlang,” katanya kepada pemberita selepas meraikan kemenangan itu bersama barisan kepimpinan dan penyokong parti di Pusat Operasi PH di sini pada Sabtu.
Beliau berkata gabungan itu akan melakukan post-mortem bagi mengenal pasti kekalahan di lima DUN iaitu Labu, Paroi, Bagan Pinang, Gemas dan Serting.
Mengenai calon Menteri Besar, Aminuddin berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukannya.
Pada PRN kali ini, Aminuddin mempertahan kerusi DUN Sikamat buat kali keempat dengan 12,730 undi menewaskan Ahmad Raihan Muhamad Hilal (PN) yang mendapat 10,068 undi serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu (83 undi) dan Mohammed Hafiz Baharudin (339 undi). – BERNAMA