PRN: Semoga Calon-Calon BN-PH Dikurniakan Kemenangan – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendoakan agar calon-calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dikurniakan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa peratusan keluar mengundi secara keseluruhan di enam negeri amat rendah setakat jam 2.00 petang tadi.

“Laporan dari Bilik Gerakan BN menunjukkan peratusan keluar mengundi secara keseluruhannya di keenam-enam negeri amat rendah setakat pukul 2.00 petang. Rata-rata tidak mencecah 50 peratus.

“Saluran anak muda dan pengundi luar di kalangan perantau juga amat rendah jauh berbanding waktu PRU-15 lalu. Apakah ada petanda positif untuk Kerajaan Perpaduan?” soalnya.

Sementara itu, beliau turut mengambil kesempatan untuk melakukan tinjauan di pos-pos jentera BN-PH di sekitar Pasir Puteh.

“Saya sendiri sempat meninjau sendiri pos-pos jentera Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di sekitar Dun-Dun Semerak, Gaal, Selinsing dan Limbongan di bawah Parlimen Pasir Puteh.

“Moga Allah mengurniakan kemenangan kepada calon-calon BN dan PH,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.