PRN: PM Dan TPM Dijadual Bersama Barisan Kepimpinan Untuk Pengumuman Keputusan
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan bersama barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) bagi Majlis Pengumuman Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, majlis pengumuman tersebut akan dilaksanakan setelah proses pengiraan undi di keenam-enam negeri terlibat selesai.
“Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia akan mengadakan Majlis Pengumuman Keputusan Pilihan Raya Umum Negeri setelah proses pengiraan undi di keenam-enam negeri selesai pada 12 Ogos 2023 di Dewan Tun Hussein Onn, WTC, Kuala Lumpur.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama dengan barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan akan berada di pusat pengumuman bermula jam 8.00 malam bagi mengikuti proses pengiraan undi yang berlangsung,” katanya dalam jemputan kepada media.
Sebanyak enam negeri yang terlibat dengan PRN ini kerana tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon.
Sementara itu, hari pengundian awal telah berlangsung pada 8 Ogos lalu.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang media di Menara SPR.
Abdul Ghani berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos lalu. – UMNO Online