Tawaran Saya Bukan Sekadar Janji, Demi Rakyat Bandar Baharu – Nuraini

BANDAR BAHARU, 11 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baharu Nuraini Yusoff berkata manifesto yang dibentangkan beliau bagi rakyat di kawasan itu bukan sekadar janji semata-mata.

Ujar Ketua Puteri UMNO Negeri Kedah itu, beliau akan berusaha sehabis baik untuk merealisasikannya jika dipilih memenangi kerusi DUN tersebut pada 12 Ogos ini.

“Ianya bukan sekadar janji, tapi percayalah andai diberi peluang untuk menyumbang bakti, saya cuba realisasi di sini dan tidak mustahil lagi.

“Ianya ada perancangan rapi, segalanya sudah ditimbang tara sebaik pasti. Ketika saya memegang Jawatan sebagai Ketua Puteri UMNO Bahagian, ada beberapa impian dan keinginan yang ingin dilakukan namun saya sedar kuasa bukan di tangan saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Nuraini atau mesra dengan panggilan Noni fokus beberapa segmen di dalam Tawaran Manifesto Madani Bandar Baharu.

Antaranya pendidikan, ekonomi, pembangunan belia, sosial dan kebajikan, internet dan talian telefon serta infrastruktur.

Dalam bidang pendidikan contohnya, Nuraini berazam mahu mewujudkan tuisyen percuma untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menyediakan pusat pengajian berteraskan kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Begitu juga bagi sektor ekonomi, Nuraini mahu mewujudkan pusat agrosains durian daerah Bandar Baharu, latihan dan kursus ilmu pemasaran digital secara percuma dan menambah lebih ramai lagi usahawan muda.

Justeru beliau berharap agar rakyat memberi peluang kepadanya untuk mengotakan janji-janjinya itu.

“Namun kini, tibalah masanya untuk semua bantu saya, beri undi kepada Calon 02 agar segala perancangan tawaran ini dapat dilaksanakan dalam tempoh penggal ini.

“Segala tawaran tidak lain tidak bukan demi pembaharuan dan manfaat penduduk Bandar Baharu,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.