Pilih Parti Ada Pengalaman, Cemerlang Tadbir Negeri – Ahmad Maslan
PORT DICKSON, 11 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengajak rakyat khususnya anak muda menunaikan tanggungjawab mereka untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Katanya, buat pilihan bijak dengan mengundi Barisan Nasional (BN) yang terbukti telah banyak berjasa kepada pembangunan negara.
“Untuk anak muda jangan fikir parti lain, fikirlah BN yang banyak berjasa pada kita selama ini serta Pakatan Harapan (PH) yang juga komponen utama Kerajaan Perpaduan.
“Keluarlah mengundi di awal pagi kerana apa-apa yang berlaku tengah hari dan petang tidak akan menjejaskan perjalanan kita, mungkin jam, panas, hujan.
“Semua undi adalah penting, sama nilainya walaupun satu undi. Masukkan kertas undi dengan memangkah calon BN dan PH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada ziarah kasih di Kampung Sirusa bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Mohd Najib Mohd Isa.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan dalam pada itu berkata, rakyat di enam negeri yang terlibat dengan PRN iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu perlu memilih parti sealiran dengan kerajaan Pusat.
“Kita akan meneruskan usaha-usaha pendidikan, kemahiran, pekerjaan, peluang perniagaan dan perumahan
“Kalau salah mengundi maka kerajaan negeri tidak selari Pusat sukar untuk kita memberi tumpuan daripada segi pembangunan rakyat dan negeri,” ujar beliau. – UMNO Online