Mohd Syahbuddin Mahu Jadikan DUN Galas Sebagai Contoh, Pentadbiran Selari Bawa Manfaat
GUA MUSANG, 11 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mahu menjadikan kawasan tersebut sebagai contoh kerana mempunyai kemudahan lengkap kerana selari dengan kerajaan pusat.
Ini kerana katanya, rakyat di Negeri Kelantan khususnya telah menunjukkan penerimaan yang baik terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
“Penerimaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan semakin baik dan memahami. Kita selaku wakil kerajaan juga perlu memberi kefahaman kepada rakyat betapa pentingnya kerajaan yang stabil.
“Kerajaan Perpaduan ini merupakan kerajaan yang stabil dan memerlukan dukungan daripada semua pihak. Kita juga berharap pihak pembangkang turut menyokong segala usaha baik yang dilakukan kerajaan.
“Jangan membangkang semua perkara. Pada saya, jadilah pembangkang yang bijak dengan membangkang kepada perkara-perkara difikirkan tidak sesuai. Dalam arena pentadbiran perdana menteri ini kita sedang memperbaiki kelemahan dan kecacatan lampau,” katanya kepada UMNO Online.
Sebagai calon yang sebelum ini menyandang kerusi tersebut Mohd Syahbuddin bertekad untuk mengisi segala kelompongan di kawasan tersebut memandangkan ianya merupakan pintu masuk ke Negeri Kelantan.
“Pertamanya saya nak jadikan Galas ini sebagai DUN contoh kerana selari dengan kerajaan pusat. Maka, segala bentuk pembangunan, infrastruktur, sosio-ekonomi, pendidikan, semua ini perlu dibawa dan dijadikan contoh kepada DUN-DUN lain.
“Keduanya, kita ingin mengisi segala kelompongan yang belum dilaksanakan. Contohnya, Galas ini merupakan kawasan pintu masuk ke Kelantan dan ianya memerlukan rupa indah, infrastruktur yang sempurna dan kemudahan asas lengkap,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat Kelantan untuk menoktahkan kepimpinan Pas selama 33 tahun demi pembangunan negeri tersebut.
“Saya mengharapkan semua keluar mengundi. Peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan PRU ke-15 baru-baru ini rendah. Jadi kita berharap pada kali ini lebih ramai keluar mengundi terutamanya anak-anak muda.
“Saya juga berharap anak muda membuat perubahan sekali untuk kita selarikan kerajaan negeri dengan pentadbiran pusat. Sekiranya kita masih lagi mengekalkan kerajaan yang sama maka ayat dipinggirkan, dianak tiri, peruntukan disekat.
“Justeru mari kita noktahkan perkara-perkara negatif ini dengan memilih calon-calon daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi. – UMNO Online