PRN Ini Peluang Terbaik Rakyat Ubah Pentadbiran Negeri Kelantan – Akbar
RANTAU PANJANG, 10 Ogos – Pilihan Raya Negeri (PRN) ini adalah peluang terbaik untuk rakyat Kelantan mengubah pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas yang sudah semestinya gagal mentadbir negeri sebaiknya selama 33 tahun.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apam Putra, Datuk Akbar Salim berkata, beliau menerima pelbagai keluhan rakyat sepanjang tempoh berkempen ini berkisarkan kepada pelbagai masalah yang gagal diselesaikan.
“Kebanyakan rakyat merungut mengenai isu masalah air yang tidak pernah selesai. Semasa saya berkempen, pernah ada satu kawasan dalam DUN ini mengalami ketiadaan air dari Maghrib sehingga waktu malam. Kita sedia maklum bahawa Maghrib ialah waktu puncak dan semua sedang berada di rumah.
“Itulah rungutan yang selalu kita dengar. Begitu juga dengan perjalanan tadbir urus negeri yang dilihat keadaan kerajaan tidak seperti dilambangkan ‘membangun bersama Islam’.
“Kecaknaan rakyat kurang, infrastruktur kurang, keadaan jalan-jalan kampung tidak ada penambahbaikan. Sekarang ini, para pengundi sudah sedar dan buka mata bahawa kerajaan negeri masih di tahap yang lama. Gagal dalam mentadbir urus kerajaan negeri,” katanya kepada UMNO Online.
Tegasnya, sekiranya diberi mandat oleh rakyat di DUN Apam Putra, beliau akan berusaha sebaiknya untuk menyelesaikan segala permasalahan dihadapi oleh rakyat di kawasan tersebut.
“Insya-Allah kita akan buat perubahan dan cuba menyelesaikan perkara-perkara yang selama ini wakil rakyat sekarang tidak dapat melunaskannya. Ada masyarakat Siam meminta saya menyelesaikan masalah jalan ke perkampungan Siam sebab telah lama dijanjikan tetapi tidak selesai.
“Saya terus memaklumkan kepada Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW). Alhamdulilah, pengarah KKDW telah turun dan melihat. Insya-Allah ianya akan diluluskan dan kita akan buat yang terbaik di DUN Apam Putra serta berbagai-bagai lagi masalah tidak dapat diselesai.
“Kita rasa yakin dengan Kerajaan Perpaduan pada hari ini. Sekiranya mandat rakyat diberikan kepada Kerajaan Perpaduan, kita dapat bangunkan DUN Apam Putra dengan lebih teratur dan lebih baik daripada sekarang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh pengundi di Apam Putra dan Kelantan agar memberikan peluang kepada calon-calon Kerajaan Perpaduan agar pembangunan di negeri itu dapat dilaksanakan sebaiknya.
“Saya menyeru kepada seluruh pengundi di DUN Apam Putra dan Kelantan, buka mata tengok, buka pintu hati lihat apa yang selama ini 33 tahun berlaku di negeri Kelantan. Takkan kita nak berikan peluang kepada parti yang sama untuk mentadbir?
“Kita rasa kegagalan kerajaan hari ini adalah dalam mentadbir urus dan kita perlu membuat perubahan seiring dengan slogan ‘Ubah Kelantan’ perlu kita realitikan untuk kemajuan negeri terutamanya DUN Apam Putra.
“Saya memohon para pengundi ambil peluang ini sebaiknya kerana kita telah menunggu masa selama lima tahun untuk mengubah, inilah masa dan ketikanya,” katanya lagi. – UMNO Online