Perjuang Isu Peluang Pekerjaan, Rumah Generasi Kedua FELDA Di DUN Kemahang – Mazli

TANAH MERAH, 10 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemahang, Mazli Mustafa bertekad untuk memperjuangkan isu perumahan generasi kedua FELDA sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Jelasnya, sambutan rakyat terhadap BN dan Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh berkempen ini amat memberangsangkan dan disambut baik oleh rakyat setempat.

“Alhamdulilah kempen berjalan dengan baik dan di DUN Kemahang ini sampai ke hari ini tidak ada apa-apa insiden. Sekarang ini kita berada di Kemahang 1 dan kawasan ini merupakan kubu kuat Pas di DUN ini tetapi hubungan sesama masyarakat ini tidak ada masalah.

“Cuma mungkin berbeza dari segi fahaman politik parti. Meskipun berada di kubu kuat Pas sekalipun, kita mengambil pendirian kita tetap terus masuk untuk berkempen. Sambutan terhadap BN pun nampak semakin memberangsangkan. Insya-Allah kami akan teruskan berkempen sehingga jam 12 malam pada 12 Ogos nanti,” katanya.

Tambahnya, isu perumahan generasi kedua FELDA tetap menjadi perjuangannya.

“Biasanya apa yang kami cuba perjuangkan ialah isu perumahan untuk generasi kedua FELDA sebab FELDA ini dah hampir 40 tahun. Jadi, masalah ini semakin kritikal. Kita akan cuba bincang.

“Sekiranya diberi mandat, lebih mudah untuk kami berbincang dengan FELDA dan kerajaan pusat untuk selesaikan isu ini,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya lagi, beliau turut membawa azam untuk mewujudkan kawasan industri kecil bagi mencipta peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di kawasan FELDA.

“Apabila berada di kawasan FELDA, biasanya kemudahan infrastruktur telah tersedia, sebab itulah kita perlu mencari sebab musabab lain untuk memajukan kawasan FELDA. Selain itu, kami mahu mewujudkan satu kawasan industri kecil bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk mengelakkan anak-anak muda kawasan FELDA ini keluar kawasan selepas tamat pengajian.

“Kalau kita mahu meminta mereka balik, bekerja dan berkhidmat untuk ibu bapa, kita perlu mewujudkan peluang pekerjaan. Sekiranya kita berhasil untuk mewujudkan industri perusahaan kecil ini, insya-Allah peluang pekerjaan akan wujud dan masalah sosial akan berkurangan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para jentera menjaga tatatertib sepanjang tempoh berkempen dan mendoakan agar semua pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebaiknya.

“Kepada semua pengundi dan jentera, semasa berkempen ini tolong jaga tatatertib. Walaupun kita berlainan parti hubungan persaudaraan wajib kita jaga. Janganlah melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan provokasi dan kekecohan.

“Saya doakan semua jentera dan pengundi pada 12 Ogos ini boleh menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan sebaiknya,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.