Norsabrina Ajak ‘Kalih Bagi Sama’, PRN Peluang Demi Kestabilan Dan Kemakmuran Selari Kerajaan Perpaduan
BANDAR BAHARU, 10 Ogos – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor menggesa rakyat khususnya para pengundi untuk ‘kalih bagi sama’ agar pelaksanaan pentadbiran Kerjaan Negeri Kedah selari dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
Katanya, hal ini amat penting dilaksana agar kemajuan dan pentadbiran yang terancang dapat dilaksana dengan lebih baik.
“Kita perlu ‘kalih bagi sama’ dan itulah juga tawaran untuk rakyat Kedah agar pentadbiran negeri dan Persekutuan selari, yang manfaatnya akan membawa lebih banyak pembangunan yang terbengkalai selama ini dapat dilaksana.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) ini adalah peluang bagi semua untuk. Kerajaan negeri perlu sama yang maksudnya selari dengan Kerajaan Persekutuan.
“Sekiranya hendak membangun dengan hebat, dapat dilaksanakan perancangan pentadbiran dengan lancar dan kemajuan benar-benar ingin dilaksana maka inilah masanya iaitu ‘kalih bagi sama’ kerana kalau kerajaan tak sama tidak ke mana negeri ini,” katanya kepada UMNO Online
Beliau berkata demikian lantaran telah merasai bagaimana tekanan yang dilalui ketika beliau menjadi ADUN dalam kerajaan yang tidak selari dengan pentadbiran pusat.
“Sememangnya tidak boleh dinafikan kebergantungan kita di Negeri Kedah ini adalah kepada Kerajaan Persekutuan. Ini melibatkan pelbagai perkara yang perlukan penglibatan dan sokongan Kerajaan Pusat kerana dalam apa jua hal khususnya kebajikan, pendidikan, pembangunan sosial masyarakat dan sebagainya.
Jelasnya sebelum ini pelbagai masalah berbangkit gagal diselesai lantaran tiada persefahaman dan ideologi politik yang berbeza malah kepimpinan negeri yang tidak sama akan menyebabkan aliran bantuan tidak lancar.
“Saya harap para pengundi dapat melaksanakan amanah setelah melakukan penilaian dengan bijak, kita mahukan politik pembangunan dan kemajuan yang berterusan. Bukan politik yang penuh retorik … yang hanya berkata-kata dan mewujudkan pelbagai propaganda namun hasilnya untuk rakyat dan negeri tidak dilaksana,” katanya lagi.
Terdahulu, kempen PRN berbaki sehari selepas bermula pada 29 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.
Sebelum ini Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun lepas, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai. – UMNO Online