Langkawi Perlu Dimajukan Semula Setelah Diabaikan Kerajaan Negeri Kedah – Hisham Suhaily

 

LANGKAWI, 10 0gos – Kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN)/Pas dilihat mengabaikan pulau Langkawi yang sejak dahulu lagi sebagai pusat pelancongan terkenal bagi negeri Kedah dan negara ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat, Hisham Suhaily Othman berpandangan ia jauh berbeza ketika BN memerintah negeri sebelum ini yang sentiasa berusaha membangunkan serta memajukan pulau ini.

“Sepanjang mereka memerintah negeri Kedah boleh lihat perbezaannya berbanding era BN dan ianya memang sangat berbeza. Kita dapat lihat pembangunan yang tidak seimbang malah pelancong sanggup pergi ke Thailand ataupun di tempat lain untuk datang ke Langkawi.

“Apakah yang pelancong hendak? Sudah pasti pelancong mahukan perkara yang menarik selain pulau bebas cukai dan ada perkara-perkara lain yang menarik ianya pasti akan datang ke sini. Kita kena buat sesuatu supaya ramai pelancong datang di Langkawi,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Seterusnya Hisham mempunyai visi yang khusus untuk rakyat Ayer Hangat terutamanya meningkatkan lagi ekonomi rakyat di kawasan ini.

“Kita fokus pada ekonomi terutamanya nelayan, pengusaha pelancongan, pertanian, belia dan merangkumi semua aspek. Paling penting Ayer Hangat ini sosio ekonominya perlu seimbang antara Kuah dan Ayer Hangat.

“Sememangnya manifesto Langkawi yang bakal diumumkan bukannya manifesto omong kosong, sekadar janji dan tiada bukti. Kami mempunyai pemikir yang terbaik untuk berbincang bersama demi rakyat Ayer Hangat,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Ketua Wanita UMNO Bahagian Langkawi itu menyeru kepada seluruh pengundi DUN Ayer Hangat agar bulatkan tekad dan memberi undi pada BN.

“Saya menyeru pada semua marilah sama-sama membulatkan tekad untuk memberi undi pada BN. Kita perlu memikirkan masa depan Ayer Hangat terutamanya nasib rakyat kerana banyak perkara yang perlu dibangunkan, peruntukan dan bantuan harus disalurkan pada masyarakat di kawasan ini.

“Jika kerajaan negeri dan pusat sama, saya yakin serta percaya limpahan rezeki dari kerajaan pusat akan turun mencurah di Langkawi untuk bantu rakyat terutamanya ekonomi, kesejahteraan, kemakmuran, kesihatan, pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Ujarnya lagi, sekiranya diberikan mandat beliau akan menjadikan jambatan terbaik antara Ayer Hangat dan pusat untuk mendapatkan seberapa banyak bantuan, peruntukan serta seimbangkan sosio ekonomi setanding di tempat lain. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.