Komitmen Jentera Cukup Tinggi, Harap Baki Tempoh Kempen Ditingkatkan Sebaiknya – Dr Asyraf

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melihat kesepaduan dan komitmen jentera Barisan Nasional (BN) berada pada tahap terbaik selain gerak kerja bersepadu bersama jentera Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau komitmen mereka amat tinggi dan keserasian serta kerjasama antara jentera kedua-dua parti cukup baik serta berharap baki kempen yang ada terus ditingkatkan dengan sebaiknya.

“Komitmen jentera parti cukup tinggi bukan sahaja di kawasan BN yang bertanding malah di kawasan lain. Saya nampak keserasian jentera BN dan PH ini amat baik sekali termasuklah di kawasan-kawasan BN bertanding.

“Saya ucapkan terima kasih kepada jentera PH yang tanpa rasa kekok membantu antara satu sama lain. Kita berharap baki kempen yang ada ini diperhebatkan,” katanya kepada UMNO-Online.

Terdahulu beliau bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Armi Irzan Mohd beramah mesra bersama jentera setempat di Bandar Kuala Terengganu.

Asyraf seterusnya menambah momentum dan arus gelombang di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah akan terus ditingkatkan.

“Saya lihat momentum kita mempertahankan tiga negeri itu insya-Allah… cuma kita mahu pastikan gelombang yang ada di Kelantan, Terengganu dan Kedah hari ini benar-benar memihak kepada kita kerana kita ada harapan yang cerah untuk menawan negeri tersebut berdasarkan momentum masyarakat setempat.

“Saya rasa ini adalah masa terbaik untuk melakukan perubahan dengan memberikan peluang kepada BN dan PH untuk menerajui kerajaan sama dengan kerajaan di peringkat pusat.

“Dan ini merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila 19 parti politik bergabung membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.”

Justeru katanya, cakap-cakap yang mengatakan bahawa kerajaan akan runtuh di peringkat persekutuan tidak timbul.

“Kena ingat apa yang telah kita sepakati ini adalah satu komitmen untuk kepentingan negara dan rakyat. Tidak mungkin mana-mana parti mahu keluar dengan membelakangi kepentingan negara dan rakyat.

“Jadi kata-kata pihak sebelah sana termasuk pimpinan parti tertinggi yang memainkan sentimen akan jatuh kerajaan selepas PRN nanti adalah suatu yang bagi saya bermimpi di siang hari,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.