Tingkat Ekonomi Dan Pelancongan Keutamaan Johan Di Dusun Tua

HULU LANGAT, 9 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz menekankan beberapa aspek penting untuk dibawa di kawasan sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Antara keutamaan beliau adalah meningkatkan ekonomi rakyat Dusun Tua dengan menjadikan kawasan ini sebagai hub pelancongan bagi memanfaatkan keunikan geografi di sini.

“Berkenaan pendekatan ekonomi insya-Allah bagi masa sedikit untuk mengkaji perihal pelancongan, baru-baru ini saya dapat satu tempat di Sungai Serai untuk dijadikan kolam air panas kerana banyak kaum Cina gemar beriadah.

“Malah banyak lagi Sungai Congkak, Sungai Rabai, Sungai Manggis, Sungai Lopo, Gunung Nuang, Dam Sri. Jadi kita boleh buat sebagai ekotourism saya akan bincang bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing,” katanya.

Beliau yang berpengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih juga berikrar bahawa akan semaksimum mungkin mendekati semua lapisan masyarakat di samping memperkasa pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.

“Kinik Kesihatan Batu 14 juga akan ada naik taraf lagipun kita belum ada hospital di Dusun Tua, mungkin akan dipertimbangkan sama ada kerajaan atau swasta ianya akan diangkat sebagai agenda kepentingan rakyat,” ujar beliau.

Johan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, dalam pada itu berkata pelbagai pendekatan juga dilakukan beliau dalam membantu rakyat untuk memanfaatkan program yang ditawarkan kerajaan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Jelas beliau ini merangkumi peluang perniagaan dan rumah mampu milik kepada golongan muda.

“Lapan bulan lalu saya di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ada program yang kita ‘park’ duit di SME Revitalization Financing (SMERF) MIDF, mangsa banjir diberi pinjam RM100,000 dengan moratorium setahun tak payah bayar, ‘interest’ kosong peratus, meniaga sahaja selama setahun.

“Saya juga bertemu anak muda untuk memberi penjelasan di bawah Bank Rakyat rumah mampu milik RM250,000 kepada mereka. Rumah itu dilengkapi perabut namun hanya katil dan sofa sahaja tiada, saya panggil semua pengusaha e-hiling, p-hailing dan mereka yang berminat,” ujar Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat itu.

Untuk rekod, DUN Dusun Tua ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Johan dengan Azhar Hambali yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Al Hafiz Ikhwan daripada Muda. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.