Kibaran Biru Merah, Harungi Kempen PRN Semarak Semangat Perpaduan Negeri Sembilan
JEMPOL, 9 Ogos – Kibaran bendera biru dan merah menghiasi sepanjang jalan di Palong 2, Jeram Padang sempena mengharungi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ia sekaligus menghangatkan lagi kempen pilihan raya ini yang sudah memasuki hari kesembilan.
Para jentera parti difahamkan sudah memasang bendera tersebut sejak hari penamaan calon yang telah diadakan pada 29 Julai lalu.
Meskipun perubahan teknologi menyaksikan pengundi khususnya anak muda lebih tertarik menggunakan medium sosial media, namun pemasangan bendera ini masih lagi menjadi pilihan utama parti yang bertanding.
Selain di Jempol, perang bendera juga kelihatan di sepanjang jalan bandar utama seperti di Seremban, Rasah dan Port Dickson.
Rata-rata pengundi yang ditemui juga mengakui bahawa kibaran bendera di sepanjang jalan membawa suntikan semangat tersendiri kepada mereka untuk menjalankan tanggungjawab mengundi pada 12 Ogos ini.
PRN ini mencatatkan sejarah tersendiri kerana julung kali menyaksikan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi mempertahan tiga negeri dan merampas tiga lagi negeri.
Tiga negeri di bawah Kerajaan Perpaduan ialah Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala selebihnya negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah Pas/Perikatan Nasional (PN).
PRN pada kali ini menyaksikan enam negeri mempertandingkan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 36 DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).
BN Negeri Sembilan mempertaruhkan 17 calon dan PH dengan 19 calon bagi memastikan kemenangan untuk tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di negeri ini.
Terdahulu pada 6 Ogos lalu, BN-PH mengumumkan dokumen aku janji dikenali sebagai Aspirasi Perpaduan yang akan dilaksanakan sekiranya gabungan tersebut diberi mandat oleh rakyat negeri ini.
Pengerusi PH Negeri Datuk Seri Aminuddin Harun berkata aspirasi tersebut mencakupi keperluan dan kebajikan masyarakat berbilang kaum tanpa mengambil kira agama, kaum, umur, jantina dan status kehidupan.
Perkara sama dipersetujui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang berkata ianya sebagai simbolik komitmen yang diterjemahkan BN-PH kepada rakyat negeri ini.
Jelas beliau, ini kerana ianya merangkumi pembelaan pembangunan kepada semua lapisan masyarakat untuk tempoh lima tahun akan datang yang semestinya memberikan impak terhadap kesejahteraan rakyat. – UMNO Online