Visi Rashidi Demi Kepentingan Penduduk DUN Sungai Acheh
SUNGAI ACHEH, 7 Ogos – Dalam tempoh seminggu ini, Barisan Nasional (BN) giat menjalankan kempen bagi mengambil hati dan meraih undi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, kata calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh, Rashidi Zinol.
Katanya, pelbagai manifesto yang dijanjikan khusus buat pengundi di negeri terlibat yang semestinya membawa manfaat dan kebaikan buat pengundi.
“Saya menawarkan menyediakan perkhidmatan kenderaan pengangkutan bagi mereka yang sakit dari rumah ke hospital. Ini menjadi keperluan penduduk di Sungai Acheh untuk membantu keluarga mereka walaupun berkerja.
“Kita mempunyai banyak dewan-dewan dan akan gunakan infra dewan serta menaik taraf kelajuan internet dan masa yang sama akan membuat pertandingan e-sport serta mendekati dengan mengadakan beberapa program dan nampak sambutan itu cukup memberangsangkan.
“Apa yang ditawarkan pada rakyat Sungai Acheh akan terus beri sokongan sehingga ke hari pengundian malah anak-anak muda sudah kembali pada BN untuk memenangi Pilihan Raya Negeri,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Rashidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal turut menasihati kepada semua calon yang bertanding dan berkempen dengan hemah dan tidak menimbulkan sebarang provokasi.
“Semua calon-calon yang bertanding pada PRN ini bawa cara yang positif dan apa yang hendak buat. Lakukan pertandingan yang positif serta mengelakkan tindakan provokasi.
“Kita bawa manifesto yang akan dibawa oleh parti masing-masing dan jangan amalkan budaya samseng kerana anak-anak muda akan melihat tingkah laku calon sepanjang PRN ini,” jelasnya.
Tambah Rashidi, pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu anak-anak muda terkeliru dan kini mereka telah kembali ke BN.
“Pada PRU lalu anak-anak muda terkeliru mudah terkeliru serta terpengaruh pada pihak lawan namun kini mereka sudah mula kembali pada BN,” ujarnya. – UMNO Online