Sambutan Rakyat Merbau Pulas Luar Biasa, Jauh Berbeza Masa PRU Lalu – Cikgu Madi
MERBAU PULAS, 7 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas, Datuk Asmadi Abu Talib atau lebih dikenali sebagai Cikgu Madi berpandangan sambutan luar biasa terhadap kempen parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini jauh berbeza masa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Serai mengakui sangat gembira dengan perkembangan itu dan ternyata mereka mahukan BN menang di DUN Merbau Pulas ini.
“Apabila kempen PRN berlaku saya dan UMNO/BN Bahagian Padang Serai turun menyantuni masyarakat dari rumah ke rumah. Ini jelas terbukti sambutan luar biasa diterima dari penduduk kampung, anak-anak muda dan ianya tidak seperti berlaku pada PRU lalu.
“Rakyat dan pengundi semakin bijak dan sudah dapat menilai mana parti yang boleh membawa kebaikan, mana parti yang pandai berbicara, mana parti yang pandai berkata-kata untuk memfitnah orang dan sebagainya. Jadi politik BN di sini adalah mengimarahkan parti.
“Sekarang ini kita buat kerja sebagai satu parti dan kerjasama dengan PH (Pakatan Harapan) yang sentiasa turun bersama dengan BN. Insya-Allah… kalau kena tatakelola, kena atur cara kita akan beri hadiah kemenangan pada Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.
Tambah Cikgu Madi, beliau cukup yakin pengundi mampu buat keputusan dan melihat kemajuan yang akan dibawa di DUN Merbau Pulas ini bagi mengubah nasib mereka.
“Saya percaya dan yakin semua rakyat serta pengundi sama ada orang muda, orang tua, veteran dan sebagainya sudah tentu mahu melihat kemajuan di DUN Merbau Pulas tapi akan jadi omong-omong kosong andai di antara kita sendiri yang buat keputusan yang tidak menguntungkan diri. Inilah peluang sehari untuk mengubah nasib kita.
“Sekiranya masih berteka-teki dan tidak mahu buat perubahan maka rakyat di DUN Merbau Pulas serta seluruh negeri Kedah akan mengalami nasib seperti ini dan tidak ada guna buat perubahan.
“Insya-Allah… saya yakin dan percaya bahawa anak-anak muda, orang dewasa lebih matang buat keputusan, matang buat perubahan dan matang untuk mengubah DUN Merbau Pulas untuk BN bagi PRN ini,” katanya lagi.
Terdahulu bagi DUN Merbau Pulas dipertandingkan dua penjuru antara Cikgu Madi yang akan ditentang oleh penyandangnya dari Perikatan Nasional (PN) Datuk Siti Ashah Ghazali. – UMNO Online