PRN: BN-PH Komited Realisasikan Manifesto Di Kelantan – Ahmad Zahid

JELI, 7 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kerajaan Perpaduan sangat komited untuk merealisasikan segala tawaran yang terdapat dalam manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini di Kelantan.

Beliau berkata hal ini kerana segala usaha yang dilakukan itu adalah demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat di negeri itu seperti menghapuskan tunggakan bil air serta memberi potongan sebanyak 50 peratus premium tanah dan caj pecah sempadan.

“Ini adalah aku janji bukan sekadar manifesto. Peluang ini hanya datang sekali dan rakyat Kelantan harus berlapang dada, lupakan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan PAS selama 33 tahun ini.

“Kita buka buku baharu tutup buku lama, cuba kami (BN-PH) sekali dan saya akan memantau prestasi kerajaan baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Desa Cerdas KEMAS di Plaza IMT-GT Bukit Bunga di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berharap semua tawaran ini dapat membuka minda pengundi di Kelantan kerana ia turut memberi peluang terbaik kepada mereka.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Kerajaan Perpaduan MADANI negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata BN dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan menggariskan empat teras utama dengan 34 tawaran yang akan dinikmati oleh pelbagai golongan masyarakat di Kelantan secara menyeluruh dan inklusif sekiranya diberi mandat mentadbir negeri itu pada PRN 12 Ogos ini.

Beliau berkata manifesto PRN yang ditawarkan bukanlah janji kosong tetapi gabungan itu berazam merealisasikannya demi keharmonian rakyat Kelantan. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.