Pilih Yang Mampu Tadbir, Bukan Pilih Yang Populis – Mahdzir

ALOR SETAR, 7 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menggesa rakyat Kedah untuk memilih pemimpin negeri yang mampu menguruskan negeri dengan efektif daripada memilih berdasarkan populariti.

Mahdzir, yang juga bekas Menteri Besar Kedah, menekankan keperluan untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang mampu menguruskan pembangunan ekonomi negeri dengan baik.

“Di Kedah, terdapat majoriti Melayu, tetapi terdapat juga komuniti Cina, India, dan Thai, mereka semua memerlukan ekonomi yang kukuh.

“Betul atau tidak? Sebab itu tuan-tuan dan puan-puan kita kena fikir, ini (pemerintahan negeri) bukan untuk watak populis, bukan mahu popular.

“Kita nak jadi kerajaan, tak penting popular. Yang pentingnya boleh menguruskan negeri ini. Yang paling penting adalah bagaimana mengurus untuk rakyat dapat ekonomi yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Pakatan Harapan-Barisan Nasional di sini semalam.

Mahdzir juga menekankan bahawa kemajuan negeri juga bergantung kepada hubungan yang baik antara kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Beliau menegaskan bahawa pertikaian yang kerap berlaku dengan pemimpin di peringkat Persekutuan, akan menghalang sebarang kemajuan dalam projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.

“Kalau selalu cari masalah… kita gaduh hari-hari, kita fitnah hari-hari, kita marah hari-hari, siapa mahu tolong kita?

“Padang hujungnya, (pemimpin negeri) bawa surat, sampai duduk bersama Perdana Menteri, minta juga sama Perdana Menteri. Tapi macam mana Perdana Menteri nak bagi kalau hari hari kamu maki ini Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahdzir menegaskan bahawa Menteri Besar yang dipilih harus memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.

“Orang nak makan, bayar bil elektrik, bayar rumah, bayar kereta, beli susu untuk anak-anak.

“Itulah perkara yang paling penting, tak perlu membincangkan perkara lain sebagai Menteri Besar, tak perlu nak cari gaduh,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.