Tarik Pengundi Kepada Realiti Kehidupan, Tolak Sentimen Politik – Hasnal Rezua Merican
RAWANG, 6 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menganggap rakyat perlu didedahkan dengan realiti kehidupan kini.
Ujarnya, cerita-cerita berkaitan sentimen, manipulasi, tentang penafsiran agama mana yang lebih betul atau apa-apa sahaja perlu dikesampingkan.
“Saya rasa sebenarnya kita perlu tarik mereka kepada realiti kehidupan. Cerita tentang sentimen, tentang penafsiran agama mana yang lebih betul, cerita-cerita dari ilham minda yang jahat atau fitnah mesti dikesampingkan oleh rakyat.
“Rakyat mesti duduk memikirkan untuk kebaikan dan kesejahteraan dengan melihat realiti kehidupan itu… janji syurga yang dicanang pihak sana tidak boleh diberikan oleh manusia.
“Nilailah realiti kehidupan kita hari ini, kalau kita ada permasalahan maka apa yang mempunyai pengaruh kepada kehidupan kita itu perlu diselesaikan,” katanya kepada UMNO Online.
Hasnal Rezua Merican walaupun muka baharu yang menjadi calon BN namun beliau tidak asing dalam arena politik tempatan dan telah bergelumang dalam UMNO sejak lebih 20 tahun lalu malah amat sinonim dengan perkembangan di sini.
Soal beliau, kenapa rasa boleh berlapang dada membiarkan permasalahan kerana mengejar janji syurga yang dicanangkan pihak sana sedangkan siapa mereka yang berkata begitu.
“Dalam medan pilihan raya inilah masa rakyat memberi, sama ada menyambung kepercayaan sesuatu kerajaan yang ‘perform’, yang berprestasi tinggi, yang sentiasa mengilhamkan inisiatif-inisiatif baik kepada rakyat berbanding membuat suatu referendum menolak mereka yang ada ‘track record’ tidak membanggakan sebelum ini.”
Tegas beliau, adalah lebih mudah bagi rakyat membuat pilihan untuk mengundi siapa apabila dapat membuat penilaian secara wajar.
“Saya rasa mudah bagi kita membuat penilaian jika berasaskan kepada akal, berdasarkan fakta. Pilihan itu nyata.
“Kalau datang semata-mata nak menjual sentimen itu ini, kononnya Islam terancam, isu kalimah Allah sedangkan isu ini adalah rentetan yang penuh sarat dengan teknikal undang-undang,” katanya.
Ujarnya yang juga pengamal undang-undang, beliau arif berkaitan isu kalimah Allah kerana ia dijadikan modal politik oleh pemimpin yang dahulunya bergelar perdana menteri dan kini berada di pihak sebelah sana.
“Sekarang mereka tuding pada kita kononnya kita tidak buat apa yang patut dipertahankan sedangkan realitinya perlu fahamkan isu itu dahulu.
“Sekarang kita ada satu kerajaan yang menyeluruh mewakili orang Melayu, Cina, India masuk segala suku kaum Sabah dan Sarawak dan kita boleh duduk dalam keadaan sejahtera.
“Pihak lawan ini suka manipulasi kononnya kalau lantik mereka maka mereka akan mempertahankan itu ini sedangkan realitinya adalah kehidupan kita.”
Justeru katanya, untuk membuat pilihan dalam PRN pada 12 Ogos kelak, apa yang perlu adalah melihat kepada realiti kehidupan dan keperluan yang mesti dipenuhi.
“Saya merayu kepada mereka agar buatlah nilaian yang objektif dalam kehidupan dan lakukan perbandingan dengan satu lagi pihak… nilailah mana yang lebih baik. Ini bukan satu perkara abstrak,” katanya lagi.
Hasnal Rezua Merican memasuk politik dan mendaki kepimpinan dalam parti bermula dari ahli biasa, diberi kepercayaan menjadi penyelaras Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam pilihan raya, dipilih naib ketua bahagian, timbalan ketua bahagian dan seterusnya dalam pemilihan lalu menang selaku Ketua UMNO Bahagian Selayang.
PRN di Selangor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, dengan pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos ini. – UMNO Online