Mohd Rosdi Tekad Ubah DUN Kelaboran, Bersedia Berkhidmat Untuk Rakyat
TUMPAT, 6 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran membawa tekad untuk mengubah kawasan ditandingi dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
Jelasnya, beliau melihat respons positif daripada rakyat setempat ketika musim berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ini terhadap calon-calon BN-Pakatan Harapan (PH).
“Setakat ini alhamdulilah, saya nampak ada respons positif daripada rakyat. Namun ianya tidak menyebabkan saya berada dalam situasi selesa bahkan saya akan ‘improve’ dari semasa ke semasa dan akan terus berjumpa dengan rakyat.
“Saya mempunyai sasaran saya sendiri maka saya akan ‘all out’. Ini adalah peluang yang parti berikan kepada saya selaku orang muda dan saya perlu menghargainya,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berharap agar rakyat di Kelantan khususnya di DUN Kelaboran dapat menilai dan menghargai niat anak muda untuk berjasa di kawasan tersebut.
Saya harap rakyat di kelantan terutamanya di Kelaboran dapat menilai dan menghargai jasa orang muda serta menerima impian saya untuk berjasa kepada rakyat.
“Saya tidak menjanjikan manifesto bulan dan bintang, bangunan pencakar langit serta kilang seluas lautan. Tapi apa yang saya janjikan adalah bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat DUN Kelaboran selama satu penggal.
“Kenapa satu penggal? Rakyat nilailah. Saya bekerja dengan rakyat maka merekalah yang bakal menentukan kontrak saya samada sepenggal, dua atau berpenggal-penggal.
“Tetapi impian saya kepada rakyat DUN Kelaboran, berilah peluang kepada anak muda ini. Bukan tukar agama, tukar parti sahaja pun. Kalau saya tidak ‘perform’, tukar semula untuk penggal kedua,” katanya lagi.
Mohd Rosdi turut berharap agar para pengundi di DUN Kelaboran membuat pilihan yang terbaik dalam menentukan wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Kepada pengundi-pengundi DUN Kelaboran terutamanya bawah 40 tahun, di sini hampir 55 peratus pengundi muda. Buatlah Pilihan terbaik.
“Kepada pengundi-pengundi luar terutamanya pengundi DUN kelaboran. Semua orang cakap kita kalah di Kelantan sebab pengundi luar. Untuk DUN Kelaboran, saya memerlukan pengundi luar untuk memenangkan saya. Tanpa pengundi luar saya tidak akan menang. Anda adalah penentu kemenangan saya.
“Semua calon, ayuhlah kita bekerja keras untuk memenangkan kerusi kita masing-masing. Saya bertekad untuk ubah DUN Kelaboran. Tugas rakyat satu sahaja untuk memenangkan saya,” katanya lagi. – UMNO Online