Islam Terancam, Raja-Raja Melayu Dan Hak Istimewa Melayu Tergugat? Tohmahan Yang Tersasar – Ahmad Zahid

BALING, 5 Ogos – Tohmahan Perikatan Nasional (PN) bahawa agama Islam, hak istimewa orang Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu tergugat di bawah Kerajaan Perpaduan adalah tersasar dan salah sama sekali.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya di ceramah Jelajah Perpaduan Madani Kedah di sini malam tadi, empat perkara demikian selain menjadi syarat UMNO/BN untuk bersama dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan, ia juga menjadi komitmen Dap sepertimana yang diperjelaskan oleh Setiausaha Agung parti itu Anthony Loke.

“Mana ada Islam terancam, tadi Anthony Loke sebut… Kalau Dap pun boleh sokong Islam sebagai agama Persekutuan, mana ada tentangan dalam Kerajaan Perpaduan. Secara seriusnya kalau dikatakan Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim Islam terancam, Anthony Loke telah perjelaskan.

“Kalau dia (PN) kata kedudukan Raja-Raja Melayu tergugat… Anthony Loke telah jelaskan… kalau mereka kata hak istimewa orang Melayu tergugat… Anthony Loke telah jelaskan. Kalau kata bahasa Melayu telah tergugat… Anthony Loke telah jelaskan.

“Tetapi yang penting sewaktu perundingan antara UMNO/BN dan Pakatan Harapan (PH) itulah empat perkara agama Islam, Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan bahasa Melayu itu syarat utama kalau mahu wujudkan Kerajaan Perpaduan, itulah yang dipersetujui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, oleh Datuk Seri Mohamad Sabu, oleh Anthony Loke sendiri. Itu sejarah dan fakta,” tegas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid serta pimpinan PH dan BN dari pusat dan negeri.

Seterusnya jelas Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, Kerajaan Perpaduan turut melangkah ke hadapan dengan komited mahu melahirkan para huffaz profesional melalui Dasar Maahad Tahfiz.

“Kalau dikatakan Islam terancam, bagaimana dengan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) untuk maahad tahfiz. Perdana Menteri mahu diwujudkan Dasar Maahad Tahfiz 2.0. 1,333 maahad yang berdaftar, lebih daripada 3 ribu maahad tahfiz tidak berdaftar kerana tidak cukup syarat.

“Insya-Allah saya akan bantu maahad tahfiz yang tidak berdaftar untuk didaftarkan supaya JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) melalui peruntukan Kementerian Kewangan,” katanya.

Begitu juga jelasnya Kerajaan Perpaduan mahu mewujudkan seramai 225 ribu huffaz pada tahun 2050 yang bukan sekadar menjadi imam dan mengajar al-Quran tetapi sebagai ahli profesional di dalam pelbagai bidang.

“Ini telah saya lakukan apabila Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di MIAT (Malaysian Institute of Aviation Technology) yang melatih jurutera penerbangan di kalangan lepasan maahad tahfiz dan sekarang ini di MIAT, Subang telah terdapat anak-anak dari maahad tahfiz yang telah menjadi jurutera bekerja dengan Syarikat penerbangan Airbus dan juga Boieng.

“Inilah perjuangan kita. Ertinya, kita meningkatkan martabat maahad tahfiz, menjadi ahli profesional bukan jurutera, akauntan sahaja malah peguam juga. Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kedah sekarang? Mereka tidak ada perancangan,” ujarnya lagi.

Terdahulu Anthony dalam ucapannya berkata Dap tetap ikrar menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan bersetuju dengan empat perkara yang disyaratkan oleh UMNO dan BN ketika awal penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Kata Menteri Pengangkutan itu, empat perkara tersebut merujuk kepada pemeliharaan kedudukan agama Islam, bangsa Melayu, bahasa Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu.

“Jangan percaya kepada fitnah, dakyah. Hari ini kedudukan orang Melayu tidak terhakis… Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, ketua hakim, peguam negara, ketua polis, ketua angkatan tentera, menteri kewangan, menteri Pembangunan luar bandar, hampir semua menteri Melayu kecuali lima orang Cina satu India. Kabinet ada 30 orang. Jangan bimbang soal kedudukan politik orang Melayu,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.