Kebersamaan Kerajaan Negeri Dan Persekutuan Penting Dalam Pembangunan – Bung Moktar

CHERAS, 4 Ogos – Kebersamaan pemerintahan antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan menjadi faktor penting bagi membangunkan sesebuah negeri secara bersama.

Justeru, Pengerusi UMNO Sabah merangkap Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin menekankan betapa pentingnya negeri-negeri di bawah pemerintahan sama dengan Kerajaan Perpaduan yang sudah tentu memudahkan usaha membangunkan negeri secara bersama.

“Jika dibandingkan dengan negeri-negeri bukan di bawah Kerajaan Perpaduan… ini akan menimbulkan satu sempadan yang besar antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Sebab itu rakyat di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini harus lihat perkara ini secara terbuka bahawa agenda nasional Kerajaan Perpaduan bukan hanya pada PRN ini tetapi memastikan ekonomi negara dapat dibangunkan secara bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Perdana di Taman Cheras Perdana dekat sini, malam tadi.

Hadir sama, calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz.

Enam negeri terlibat pada PRN ini iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Bung Moktar juga berkata dengan kebersamaan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan maka kestabilan itu dapat dinikmati rakyat secara langsung.

Pada masa sama, beliau menjelaskan sebarang keputusan pada PRN ini tidak membawa penukaran Kerajaan Persekutuan seperti yang didakwa oleh Perikatan Nasional (PN) pada kempen mereka.

Mengenai isu pembangunan dimainkan oleh PN pada kempen PRN di Selangor, Bung Moktar menyifatkan ia hanya isu retorik dan bukan isu besar disebabkan Selangor dari dulu ketika di bawah BN hingga kini di bawah PH pesat membangun.

Katanya Selangor menjadi penyumbang tinggi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan atas faktor ini negeri ini sentiasa dalam perhatian Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.