Usah Terlampau Yakin PN, Kami Wakili Anak Tempatan – Calon PH-BN Utara Selangor

SEKINCHAN, 3 Ogos – Calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di utara Selangor optimis mampu menyumbang kemenangan kepada gabungan itu meskipun parti lawan menyuarakan keyakinan bakal mendominasi wilayah itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail berkata sebagai penyandang kerusi dan anak tempatan, beliau melihat keyakinan berlebihan Perikatan Nasional (PN) kononnya mereka akan menyapu bersih semua kerusi di utara Selangor, bakal memakan diri.

“Saya rasa keyakinan PN terlalu tinggi sehingga terlupa sentimen anak tempatan yang mana penduduk percaya calon lokal lebih memahami isu setempat dan layak membawa suara dan permasalahan mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Kita sedia maklum peranan dan tanggungjawab ADUN ini adalah untuk membina dasar serta perancangan bagi pembangunan negeri dan kawasan yang diwakili dan pastinya hanya anak tempatan yang lebih mengerti serta faham lanskap sesuatu DUN tersebut,” katanya kepada Bernama.

Calon PH DUN Sekinchan Ng Suee Lim pula berkata beliau yakin wakil gabungan PH-BN mampu meraih kemenangan jika semua anggota dan jentera parti bekerjasama mendekati pengundi sebagai satu pasukan.

Beliau yakin PH-BN mampu menenggelamkan kebangkitan yang ingin diteruskan PN apabila membuat kejutan memenangi beberapa kerusi Parlimen di utara negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

“Dengan rekod pentadbiran kerajaan negeri serta tawaran-tawaran yang terkandung dalam manifesto PRN Selangor yang diumumkan baru-baru ini, saya yakin rakyat dapat membuat penilaian terbaik sebelum memberi undi.

“PRU lepas kita bertanding melawan sesama sendiri tetapi untuk PRN ini, saya yakin penyokong PH dan BN akan bersatu memberi sokongan kepada calon mewakili gabungan PH-BN atas semangat mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri yang seiring dengan Kerajaan Perpaduan di Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, calon BN DUN Sungai Burong Mohamad Khir Ramli percaya gabungan PH-BN memberi kekuatan tambahan kepada gerak kerja parti di peringkat akar umbi untuk mengekalkan kemenangan di kawasan itu.

“Saya penuh yakin akan menang. Kalau sebelum ini jentera kita yang bergerak berasingan pun masih kuat memberi saingan, pastinya ‘perkahwinan’ PH-BN ini menjadikan kita lebih kuat dalam mengatur strategi menggempur lawan. Insya-Allah kita mampu pertahan DUN Sungai Burong,” katanya.

Pada PRU lepas, tiga kawasan Parlimen di utara Selangor iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjong Karang ditawan PN dengan majoriti kemenangan masing-masing sebanyak 5,056, 2,721 serta 1,970 undi.

Hari mengundi bagi PRN di enam negeri termasuk Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan berlangsung 12 Ogos ini. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.