Pengundi Diharap Tidak Terpengaruh Dengan Mainan Sentimen Yang Tidak Logik    

DUNGUN, 3 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap rakyat khususnya pengundi di enam negeri yang terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mudah terpengaruh dengan sebarang sentimen yang dimainkan oleh pihak lawan.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang seterusnya berkata sentimen tersebut termasuklah keputusan pada PRN ini akan memberi kesan kepada kepimpinan di peringkat kerajaan pusat adalah jauh tersasar.

“Tidak ada kena mengena… apa jua keputusan PRN tidak menggugat pentadbiran pusat dan ini hanyalah PRN negeri serta tidak beralih kepimpinan dan sebagainya. Tetapi inilah isu yang dimainkan oleh mereka kerana kita tahu mereka menggunakan isu-isu yang boleh mengelirukan rakyat padahal ianya isu yang tidak ada kena-mengena.

“Jadi saya harap rakyat negeri Terengganu khususnya dan negeri-negeri lain yang terlibat pada PRN kali ini tidak terpengaruh dengan apa jua sentimen yang dimainkan,” katanya kepada UMNO-Online.

Terdahulu beliau bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Datuk Din Adam pada program Santai Ngeteh Kopi, ‘AMBS Kawasan DDA’ bersama penduduk setempat. Turut bersama petugas serta jentera parti yang lain.

Wan Rosdy seterusnya menambah rakyat Terengganu perlu bijak memilih dan pastikan negeri itu dimenangi oleh calon BN dan PH sekaligus memberi manfaat yang banyak untuk rakyat.

“Kerajaan negeri dan persekutuan perlu selari sebabnya kerajaan negeri terhad manakala kerajaan persekutuan daripada dana, peruntukan dan sebagainya… Walau bagaimanapun katalah kerajaan negeri tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan bagaimana untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Sebagai contoh masalah air dan ianya memerlukan peruntukan yang besar dan perlu dibantu oleh pusat. Jadi untuk tujuan itu bagi saya agak sukar untuk membantu dan mendapatkan projek-projek pembangunan dan sebagainya,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.