Sokong Kerajaan Perpaduan Demi Kesejahteraan Dan Kestabilan Rakyat – Dr Asyraf Wajdi

SEPANG, 2 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengajak rakyat khususnya para pengundi yang bakal melaksanakan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos kelak untuk memilih perpaduan dan menolak persengketaan.

Katanya, perpaduan yang dilaksanakan dalam kerajaan adalah untuk rakyat demi kesejahteraan dan kestabilan negara.

“Cukup-cukuplah bersengketa, bermusuhan. Dulu Dap dan UMNO bercakaran namun siapa sangka hari ini kita berkawan yang dilaksana demi rakyat, negara dan politik yang mesti stabil. Kestabilan akan menjemput pelabur datang ke negara kita dan kemudian mampu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.

“Sebab itu 12 Ogos ini kita nak tentukan kerajaan yang menggambarkan perpaduan. Kuasa di tangan rakyat dan jangan biarkan mereka yang menolak perpaduan menghancurkan kesejahteraan, kestabilan dan kemakmuran,” katanya.

Terdahulu beliau menyorot sembilan bulan lalu apabila parti-parti politik yang ada saling bercakaran dan bersengketa.

“Sembilan bulan dulu lawan tetap lawan tapi sekarang lawan menjadi kawan. Apa guna terus berlawan jika kita bersama dalam Kerajaan Perpaduan?

“Sembilan bulan dulu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan semua parti-parti lain bertarung dalam Pilihan Raya Umum (PRU) untuk menubuhkan kerajaan namun selepas keputusan keluar tidak ada satu parti pun dapat membentuk kerajaan. Tidak ada mana-mana parti pun yang dapat cukup kerusi untuk bentuk kerajaan kerana tak cukup bilangan.

“Titah Yang di-Pertuan Agong meminta semua parti-parti politik tubuhkan Kerajaan Perpaduan demi masa depan rakyat dan negara. Ini kerana cukuplah empat tahun negara tidak stabil hinggakan perdana menteri silih berganti.”

Ujarnya, kesan politik tidak stabil menyebabkan ekonomi jatuh dan pelabur lari, peluang pekerjaan tidak ada dan akhirnya rakyat susah.

“Justeru PH, BN, GPS, GRS melibatkan 19 parti-parti politik setuju membentuk Kerajaan Perpaduan kecuali Perikatan Nasional (PN) sahaja. Maka siapakah yang perlu kita ikut, adakah yang menyokong perpaduan atau yang menolak perpaduan.”

Tegas Dr Asyraf Wajdi, ini bukan soal kuasa atau kepentingan peribadi tetapi ini soal rakyat pada masa hadapan.

“Kita mahukan perpaduan maka kita pilihlah calon-calon Kerajaan Perpaduan. Tutup buku lama, buka buku baharu iaitu Kerajaan Perpaduan demi kesejahteraan dan kestabilan rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Tanjong Sepat dekat sini malam tadi.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain calon PH dan BN bagi DUN Tanjong Sepat Borhan Aman Shah, calon DUN Dengkil Noorazli Said dan calon DUN Sungai Pelek Lwi Kian Keong.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi bagi PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos dengan undi awal pada 8 Ogos. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.