DUN Pantai Merdeka: Isu Membelenggu Nelayan Teluk Bayu Dapat Perhatian Kak Wan

PANTAI MERDEKA, 2 Ogos – Isu yang membelenggu nelayan di Teluk Bayu, Kampung Bukit Kechik di sini mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka, Wan Mohalina Wan Mohammad.

Wan Mohalina berkata permasalahan utama yang dihadapi mereka adalah apabila jeti nelayan hanya boleh diakses melalui jalan persendirian dan tambah memeritkan dikenakan bayaran yang agak tinggi oleh pemilik tanah setiap kali melalui laluan itu.

Walau bagaimanapun katanya yang mesra dengan panggilan Kak Wan, atas inisiatif mereka sedang bergotong-royong membina satu jalan alternatif tanpa melalui tanah persendirian tersebut.

“Masalah utama para nelayan di sini kerana jalan utama nak datang ke jeti Teluk Bayu dan laluan utama mereka melalui kawasan tanah persendirian. Sekarang ini setiap kali mereka keluar masuk dikenakan ‘tol’ oleh tuan punya tanah dan perkara ini tak boleh dielakkan, sekarang ini mereka tengah gotong-royong untuk membina jalan alternatif ke sini.

“Kita nak membangunkan pusat pelancongan, (kemudahan) nelayan yang sempurna ialah laluan masuk… jadi perkara ini harus diselesaikan maka boleh bangunkan tempat ini. Mereka mengambil inisiatif membina laluan alternatif yang tidak melibatkan tanah persendirian.

“Sekiranya perkara ini tidak dapat diselesaikan maka jeti Teluk Bayu ini akan menjadi macam inilah kerana orang tak mau ‘mai’ (datang) ‘pasai’ (sebab) masuk dan ‘keluaq’ (keluar) balik pun kena ‘bayaq’ (bayar) tol,” katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Petani kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia dalam pada itu kagum dengan kesepakatan para nelayan bekerjasama antara satu sama lain serta menggunakan dana sendiri bagi membina laluan alternatif itu.

“Kak Wan memang ‘salute’ dan tahniah di atas gotong-royong, kutip duit sendiri masing-masing, nelayan ini kutip duit dan sewa ‘excavator’ buat jalan nak masuk ini. Jadi sangat-sangat terharu dengan usaha mereka dan akan usaha sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat DUN Pantai Merdeka.

“Kak Wan akan usahakan dengan kerajaan Persekutuan dan hanya kerajaan Persekutuan yang boleh menyelesaikan masalah mereka. Kita nak bina laluan jalan yang elok ke Teluk Bayu. Kita nak bina jeti juga sebab sekarang ini kita ‘takda’ (tiada) jeti, hanya ini yang ada… lebih kurang tempat-tempat lain.

“Jadi kita bina jeti yang elok supaya kita boleh jadikan selain daripada tempat perikanan dan ia juga adalah tempat pelancongan. Orang selalu ‘mai’ tapi masalahnya tempat parkir, nak masuk kena ‘bayaq’ tol dan orang tau ni susah maka orang pun tak ‘mai’,” katanya lagi yang melihat kawasan tersebut berpotensi menjadi produk pelancongan bagi DUN Pantai Merdeka.

Jelasnya, apabila menjadi produk pelancongan, ia sudah pasti akan mampu meningkatkan lagi taraf pendapatan nelayan dan rakyat setempat.

Menurut seorang nelayan yang tidak mahu dikenali berkata, isu yang menghimpit mereka itu pernah disuarakan melalui hitam putih kepada wakil rakyat di kawasan itu sebelum ini tetapi tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.