BN Hilang Kerusi Guar Chempedak Akibat Pengkhianatan, Abdul Paris Tekad Rampas Kembali

JERAI, 2 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Chempedak Abdul Paris Abdul Hamid berkata selaku pendukung parti beliau bertekad agar dapat kembalikan kerusi kawasan tersebut ke pangkuan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah ini.

Katanya, ini adalah kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, DUN Guar Chempedak telah dimenangi oleh BN tetapi akibat pengkhianatan wakilnya yang keluar parti menyebabkan BN hilang penguasaan kerusi tersebut.

“Itu adalah harapan saya kerana hilangnya kuasa kerusi (Guar Chempedak) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 disebabkan oleh pengkhianatan seseorang yang telah kita beri mandat.

“Inilah menjadi satu misi dalam perjuangan kita untuk menebus kembali maruah kita yang telah tercalar. Saya menyeru barisan jentera pilihan raya bersama-sama bekerja keras bagi memastikan kita berjaya merebut kembali kerusi ini,” katanya di majlis ceramah isu-isu semasa di dataran Dewan Kampung Pasir, Guar Chempedak di sini Selasa malam.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerai dan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Turut hadir penceramah undangan iaitu penasihat agama kepada Timbalan Perdana Menteri Ustaz Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena Noran Zamini Jamaluddin.

Dalam ucapannya lagi, Abdul Paris menyeru semua pengundi khususnya di DUN Guar Chempedak dapat ‘kalih bagi sama’ dengan mengundi parti Kerajaan Perpaduan agar kerajaan negeri selari dengan kerajaan pusat.

“Dan kita ‘kalih’kan (tukarkan) kepimpinan pembangkang (kerajaan negeri) kerana kita tahu Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di pihak yang berbeza sebagaimana motto dalam perjuangan kita untuk memastikan Kedah akan dapat kita ‘kalih bagi sama’ dengan Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya kita tanamkan semangat ini (kalih bagi sama) untuk mencapai matlamat tersebut dengan masa yang berbaki tidak lama ini kita akan melakukan semua kerja yang diperlukan bagi mendapatkan sokongan daripada pengundi-pengundi.

“Dengan tumpuan diberikan kepada pengundi muda yang kita tahu kumpulan yang lebih separuh daripada jumlah pengundi di kawasan Guar Chempedak. Kita juga berharap Wanita dan sayap Pemuda serta Puteri yang telah menggerakkan jentera turun ke kawasan, lokaliti dan cawangan bagi meraih sokongan,” katanya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Jerai.

Terdahulu, Abdul Paris mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti yang memberi kepercayaan kepadanya bagi menggalas tanggungjawab sebagai calon.

“Terima kasih atas kepercayaan kepada saya mewakili Barisan Nasional di DUN Guar Chempedak dan berbangga atas kepercayaan untuk menggalas harapan yang cukup besar ini.

“Saya berjanji akan membawa misi dan visi harapan daripada masyarakat di sini untuk melihat Guar Chempedak dalam keadaan yang lebih baik. Kita dapati banyak isu-isu semasa yang tidak ditangani dan inilah yang menjadi harapan dan tujuan saya dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan untuk mewakili masyarakat sekiranya dipilih pada 12 Ogos nanti.

“Bagaimanapun kejayaan ini sudah pasti tidak akan dapat dicapai sekiranya tidak ada penggabungan, penggemblengan kerjasama dan sokongan dari semua,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada bahagian angkat iaitu Kuala Kangsar yang turun membantu. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.