Tolak Politik Kebencian, Bina Negara Bersama Politik Perpaduan – Nurul Amal

KOTA DAMANSARA, 31 Julai – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi mengajak golongan muda menolak politik kebencian dan mengamalkan politik perpaduan demi masa hadapan negara.

Katanya, anak muda masa kini adalah generasi penerus negara yang akan menentukan masa hadapan.

“Kita sebagai Geng Perpaduan, orang muda yang mewakili golongan muda di luar sana perlu memaklumkan kepada semua bahawa kita mengamalkan politik matang iaitu tidak menggunakan agama semata-mata dan tidak menggunakan kebencian.

“Kita adalah generasi masa hadapan yang bakal membentuk Malaysia pada masa hadapan. Kerana itu kita perlu tolak politik kebencian dan pilih politik poerpaduan. Inilah yang kita idamkan,” katanya.

Beliau berkata demikian bersempena Pentas Geng Perpaduan yang menghimpunkan kepimpinan anak muda parti-parti Kerajaan Perpaduan. Program tersebut berlangsung santai di The Strand, Kota Damansara malam tadi dengan kehadiran anak muda pelbagai kaum di sini.

Nurul Amal turut menimbulkan persoalan sampai bilakah anak muda perlu disajikan dengan politik kebencian.

“Sampai bila kita nak amalkan politik sebegini? Kita sebagai anak muda Geng Perpaduan perlu menjadi contoh kepada anak muda di luar sana bahawa kita menolak politik kebencian dan pilih politik perpaduan,” katanya lagi.

Pentas Geng Perpaduan menjadi platform baharu buat pergerakan pemuda parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan dalam usaha meyakinkan para pengundi terutama kelompok pengundi automatik 18 tahun (Undi18) bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Menerusi program tersebut juga anak muda yang menjadi calon-calon Kerajaan Perpaduan di Negeri Selangor turut berpeluang berucap di hadapan khalayak. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.