PRN: Pentadbiran Sealiran Kerajaan Pusat Untungkan Rakyat – Ahmad Said

CHUKAI, 31 Julai – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said hari ini berkata pentadbiran negeri yang sealiran dengan kerajaan Persekutuan akan menguntungkan rakyat kerana mempunyai ‘suara’ yang terus kepada kepimpinan tertinggi negara.

Beliau berkata bukan sahaja tiada menteri mahupun timbalan menteri dari negeri ini, malah langsung tiada wakil Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) di Parlimen dari Terengganu dan ia menyukarkan keluh-kesah rakyat untuk sampai ke peringkat Pusat.

“Ia tidak ubah seperti ayam bercakap dengan itik…(sebab negeri pembangkang). Kalau sebelum ini rakyat beri peluang kepada PAS untuk memerintah, sekarang ini kita memohon rakyat beri mandat kepada BN pula untuk mentadbir Terengganu,” kata calon BN bagi DUN Kijal itu.

Ahmad adalah penyandang kerusi DUN Kijal sejak 1990, berdepan saingan satu lawan satu menentang Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Datuk Razali Idris (PN-Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu 12 Ogos ini.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu turut meluahkan hasratnya untuk melihat negeri kelahirannya terus maju serta dibangunkan seperti waktu BN memerintah negeri tersebut.

“Boleh lihat rekod saya, banyak pembangunan telah dibuat di Terengganu sebagai contoh Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Jambatan Bukit Kuang, Tasik Kenyir selain pendidikan dan sukan.

“Pendidikan contohnya, kita belanja RM300 juta setahun iaitu negeri paling besar peruntukan untuk pendidikan berbanding dengan negeri lain dan kita harap rakyat dapat menilai dan kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Bagi golongan muda, Ahmad berkata BN telah menawarkan banyak manfaat dalam manifesto kali ini antaranya faedah pinjaman motosikal sebanyak RM5,000 tetapi hanya perlu bayar balik RM4,500.

“Selain itu, bagi pelajar universiti yang tamat pengajian mereka akan ditempatkan di jabatan kerajaan atau swasta untuk tempoh setahun dengan elaun bagi diploma RM1,500 manakala ijazah sarjana muda RM1,800 dibiayai oleh kerajaan negeri yang dipimpin oleh BN jika kita menang nanti,” katanya yang mengulangi kandungan manifesto BN yang dilancarkan baru-baru ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PAS memenangi 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN menang hanya 10 kerusi. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.