Hayazi Tekad Rampas Kembali DUN Ayer Hitam
AYER HITAM, 31 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, Hayazi Azizan yakin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini BN dapat merampas kembali kawasan ini.
Jelasnya, perkara yang paling penting sekarang adalah menyusun gerak kerja dan jangan menganggapnya mudah walaupun BN berkolaborasi dengan Pakatan Harapan (PH).
“Kita akan merampas kembali kerusi DUN Ayer Hitam dan menyedari menjadi satu titik permulaan untuk BN terus berjuang supaya tidak rasa selesa walaupun berkerjasama dengan PH. Kita juga memerlukan PH di kawasan ini kerana parti itu mempunyai penyokong-penyokong yang tersendiri.
“Apabila berlaku penggabungan ini terutamanya dari segi pengundi-pengundi bukan Melayu seperti Cina dan Siam di kawasan ini akan memihak kepada BN. Ini merupakan satu suntikan semangat permulaan untuk turun ke gelanggang dan BN juga dikenali sebagai DNA yang tidak putus-putus membantu rakyat.
“Jadi dengan ‘trade mark’ dan pengalaman yang ada, BN terus usaha untuk mendekati pengundi-pengundi di sini tetapi walau bagaimana pun tidak rasa selesa dan terus buat kerja dengan kuat setiap hari dan setiap masa. Ini semua memainkan peranan sama ada BN mahupun PH menjalankan tugas masing-masing untuk memastikan dapat merampas kembali kerusi DUN ini milik menjadi BN,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Hayazi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun mengharapkan rakyat memberikannya kemenangan bersama antara BN dan PH dan akan berusaha untuk memperbaiki serta meningkat taraf kehidupan rakyat.
“Kalih bagi sama sebab nak sama kerajaan negeri dengan pusat supaya memudahkan untuk membantu masyarakat setempat. Masyarakat di sini bukannya memilih soal kaya tetapi mereka mahukan selesa.
“Nak selesa untuk berkerja, selesa untuk bergerak terutamanya kaum ibu dan bapa untuk mengambil anak pergi dan balik dari sekolah, nak ke sawah padi dari segi kemudahan jalan raya, kemudahan lampu jalan, sistem air paip, riadah dan sebagainya.
“Di kawasan luar bandar ini banyak perkara yang terbengkalai terutamanya perhubungan jalan raya antara kampung-kampung, desa ke sawah padi serta juga di persisiran pantai untuk kegunaan harian rakyat,” jelas beliau.
Beliau berkata sekiranya diberikan peluang, anak muda di kawasan itu tidak akan dilupakan dengan pelbagai inisiatif khususnya menerusi program-program pembangunan diri yang membabitkan kemahiran, sukan, budaya dan infrastruktur perlu diberikan perhatian sewajarnya.
“Saya akan gunakan pengalaman lama di Kementerian Belia dan Sukan kepada orang muda dan belia di luar bandar ini untuk ada aktiviti harian. Seperti tempat sukan dan memudahkan untuk mereka beriadah. Apabila ada tempat riadah ini sudah pasti ada tempat anak-anak muda ini untuk berkumpul dan seterusnya menjalankan aktiviti.
“Banyak anak-anak muda di luar kawasan bandar ini ada ‘skill’ tersendiri cuma harus cungkil bakat tersebut dan ketengahkan supaya mereka diangkat ke sukan berprestasi tinggi. Dengan pengalaman ini boleh adaptasi kepada remaja-remaja dan belia di kawasan ini,” ujarnya. – UMNO Online