Momentum Pengundi, Akar Umbi Semakin Positif Demi Masa Depan – Mahdzir

 

PEDU, 29 Julai – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu bagi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sokongan dari akar umbi sudah nampak perubahan yang cukup positif.

Menurutnya, kesan positif ini cukup bermakna kerana pada pilihan raya kali ini BN bersama Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan kepentingan dan masa depan rakyat.

“Momentum pada hari penamaan calon ini dah nampak ada kesan yang positif dan sokongan dari akar umbi ada perubahan, ada ‘trend’ yang berpihak untuk BN dan PH.

“Ini adalah berdasarkan pada arus yang berlaku bahawa rakyat dan pengundi yang ada di kawasan ini termasuk di DUN Pedu boleh memikirkan sebaik-baiknya berkaitan perkara terbaik untuk masa depan mereka.

“Saya nampak pertimbangannya adalah untuk kebaikan masa depan. Bukannya pertimbangan atas emosi atau perkara-perkara yang boleh merosakkan masyarakat. Saya fikir pengundi Kedah dan pengundi di Padang Terap adalah pengundi- pengundi yang bijaksana dan mereka tahu menilai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pekarangan Pejabat Tanah dan Daerah Padang Terap, di sini selepas penamaan calon. 

Jelas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah itu, kali ini DUN Pedu menyaksikan pertandingan dua penjuru.

“Saya di DUN Pedu sah bertanding sebagai calon BN dan berhadapan dengan seorang calon daripada Perikatan Nasional (PN), manakala bagi DUN Kuala Nerang pertandingan antara Pakatan Harapan (PH) dengan PN,” jelas beliau.

Mahdzir yakin pada PRN ini, sokongan pengundi akan berpihak kepadanya.  

“Sejarah menjadi panduan dan perkara- perkara yang berlaku pada waktu ini perlu diambil kira,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.