Jalinan Akrab BN-PH Mampu Beri Kejayaan Di Negeri Sembilan – Jalaluddin

PORT DICKSON, 28 Julai – Jalinan kerjasama yang akrab antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bakal membawa manifestasi tersendiri pada kejayaan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meluahkan kepercayaan tersebut sebagai respon beliau setelah melihat gerak kerja terbaik dilakukan oleh kedua-dua gabungan tersebut.

“Bila kita teliti BN-PH sekarang sudah ‘kamcing’ untuk berada di bawah satu pasukan bagi menghadapi PRN kali ini, walaupun orang kata tak mungkin UMNO/BN boleh bersama dengan PH.

“Saya hendak beri tahu kepada mereka, kita ini bukan sahaja boleh bersama bahkan hendak pisah pun susah sehinggalah berjaya cipta kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Negeri Sembilan di Padang Pejabat Daerah Dan Tanah Port Dickson, malam tadi.

Turut hadir adalah Pengerusi Barisan Nasional yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan kepimpinan lain.

Dalam pada itu, Jalaluddin turut menempelak parti lawan yang menggunakan politik murahan seperti memainkan sentimen emosi untuk meraih sokongan rakyat

“Kita tak perlu fitnah, main emosi, lagakan antara kaum semata hendak meraih undi dapat kejayaan.

“Bah kita bercakap soal dasar, masa depan Negeri Sembilan, ekonomi rakyat, masa depan anak muda, pembelaan orang susah seperti yang dikatakan Perdana Menteri untuk menoktahkan kemiskinan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.