Hariri Ajak Rakyat Kelantan Lakukan Penghijrahan Pada PRN Nanti

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Ketua UMNO bahagian Pasir Mas, Hariri Mohd Noor mengajak seluruh rakyat Kelantan agar mengambil semangat Maal Hijrah untuk sama-sama melakukan perubahan di negeri itu setelah 33 tahun diterajui oleh Pas.

Beliau yang dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan bulan depan berkata, inilah masa terbaik untuk mencuba parti lain dengan memberikan kepercayaan kepada BN/Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

“Setelah 33 tahun di bawah pemerintahan Pas di Kelantan, ini adalah peluang yang terbuka luas buat rakyat Kelantan melakukan perubahan. Sempena Maal Hijrah, kita mengambil semangat Hijrah ke arah perubahan yang lebih baik dan tentu ianya demi menjamin masa depan anak-anak kita di kemudian hari.

“Ini kerana tempoh lima tahun merupakan tempoh yang agak lama dan saya menyeru kepada pengundi-pengundi di Kelantan agar dapat memberikan kami mandat sekali untuk menjadi pentadbir baharu di Kelantan,” katanya kepada UMNO-Online.

Hariri seterusnya menambah BN tidak ada sifir kecewa dalam perjuangan biarpun 33 tahun rakyat Kelantan tidak memberikan peluang untuk parti berkenaan menerajui negeri.

“Kita tidak ada sifir kecewa dan berputus asa dalam meperjuangkan nasib anak bangsa. Walaupun kami 33 tahun berusaha mencuba hingga ke hari ini, kami tetap kekal dengan apa yang kami bawa iaitu perjuangan untuk rakyat Kelantan.

“Kepada pengundi Kelantan, 12 Ogos nanti buatlah pilihan yang tepat bagi memilih kerajaan negeri dan ianya tidak ada sangkut paut isu-isu di pusat. Kita hanya perlu berubah demi kelestarian demi negeri kita yang kita sayangi.

“Tentunya rakyat Kelantan bijak pandai malah penambahan pengundi-pengundi baharu yang terdiri daripada kalangan anak-anak muda memerlukan satu lonjakan perubahan yang sangat besar dan tentunya Kerajaan Perpaduan pada kali ini memberikan medan yang terbaik untuk semua rakyat Kelantan,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN). Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 8 Ogos.

Beliau berkata, bagi tempoh berkempen, ia ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 29 Julai sehingga 11.59 malam, 11 Ogos. – UMNO Online

Jom ikuti media sosial calon Barisan Nasional DUN Tendong ini:
Facebook: Noor Hariri MN
TikTok: bncommspasirmas
Instagram: (i) haririabe (ii) bncommspasirmas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.