Peranan Wanita Bawa Signifikan Tersendiri Kepada Perjuangan Parti – Bibi Sharliza


KUALA LUMPUR, 25 Julai – Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid melihat peranan Wanita UMNO adalah signifikan dalam membawa arus perjuangan parti keramat ini.

Beliau sebagai satu-satunya calon Wanita negeri yang dipertaruhkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh berkata, ini kerana wanita adalah penggerak kepada parti dan tanggungjawabnya perlu seiring di pelbagai peringkat.

“Ketika menjadi calon DUN Paroi dahulu saya juga Puteri UMNO tunggal bagi Negeri Sembilan ketika itu… saat Barisan Nasional (BN) dalam parti yang kukuh dan kuat

“Kali ini juga saya menjadi calon tunggal wanita di DUN Juasseh, cabarannya adalah berlainan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

“Namun paling penting pada ketika ini adalah saya hendak mengetengahkan bahawa Wanita bukan hanya menjadi jentera perayu atau peraih untuk kemenangan parti tetapi juga dapat mengimbangi pentadbiran kita di peringkat UMNO/BN,” katanya.

Mengulas lanjut berkenaan dinamika politik negara, Bibi Sharliza yang juga Ketua Wanita UMNO Kuala Pilah berkata Kerajaan Perpaduan adalah acuan kepada kepelbagaian kaum di negara ini.

Jelas beliau, dukungan UMNO/BN dalam kerajaan ini ternyata membawa visi tersendiri buat parti dalam mendepani arus cabaran semasa negara.

“Kita menuju ke negara maju jadi parti kena penjenamaan, jadi inilah yang kita kena lihat cabaran untuk masa depan bahawa anak-anak muda hari ini melihat bahawa kepelbagaian kaum Melayu, Cina India sepatutnya bergabung dalam satu kerajaan.

“UMNO/BN perlu bangkit dan jika dilihat pada semangat yang ada dengan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan saya yakin dan percaya parti ini akan menang pada PRN.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi juga mempunyai visinya dalam Kerajaan Perpaduan ini, ia bukan untuk melemahkan parti tetapi untuk pengukuhan,” ujar beliau lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan dengan hari penamaan calon Sabtu ini.

Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan serentak pada hari berkenaan. – UMNO Online

Jom ikuti media sosial calon BN bagi DUN Juasseh ini:
Facebook: Puan Sri Bibi Sharliza Binti Hj Mohd Khalid
TikTok: wanitakualapilah
Instagram: wanitaumno_kualapilah

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.