Agama Islam, Bangsa Melayu Akan Terus Dibela Bawah Pimpinan Kerajaan Perpaduan – Lokman Adam
MACHANG, 25 Julai – Agama Islam akan terus diangkat, dibela dengan penuh tertib dan cermat di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan, kata Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam.
Jelasnya, modal atau naratif ‘Islam terancam’ di bawah pentadbiran kerajaan pusat kini sering digunakan oleh Perikatan Nasional (PN) lebih-lebih lagi pada musim Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Malam ini kita berhimpun dengan satu matlamat besar iaitu nak merampas semula Kelantan. Ini bukan satu tugas yang mudah dan ianya cukup berat.
“Pada hari ini, ‘modal’ yang paling besar mereka gunakan ialah gabungan Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) ini akan menyebabkan Islam terancam,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Madani peringkat Negeri Kelantan pada Ahad.
Menurutnya, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebenarnya sudah mempunyai peluang untuk membawa perubahan besar pada November lalu namun mereka lebih memikirkan kepentingan parti dan diri sendiri.
“Muhyiddin dan Hadi ada peluang untuk bawa perubahan besar pada bulan November lalu apabila Yang di-Pertuan Agong memanggil mereka dan menitahkan supaya PN bekerjasama bagi membentuk kerajaan bersama PH.
“Sekiranya Muhyiddin fikirkan soal Islam dan orang Melayu, perkara terbaik ialah mereka boleh bersetuju untuk jadi Timbalan Perdana Menteri dan bentuk kerajaan,” katanya lagi.
Tegas beliau, agama Islam dan kepentingan orang Melayu sentiasa menjadi keutamaan parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Kalau Islam terancam sejak kita bersama dengan rakan-rakan PH, berapa ramai orang Islam yang telah murtad? Berapa banyak sekolah tahfiz dan masjid ditutup? Hari ini sudah hampir lapan bulan kita memerintah dan Islam sentiasa terjaga.
“Selepas ini di KEMAS akan ada matapelajaran Bahasa Arab dan mini tahfiz. Islam akan terus diangkat dan dibela dengan penuh tertib serta cermat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru para pengundi di Kelantan untuk memilih calon-calon dari parti Kerajaan Perpaduan pada 12 Ogos ini.
“Peruntukan untuk jabatan agama Islam, masjid-masjid, tahfiz dan sekolah anak yatim terus bertambah dan tidak ada yang berkurangan.
“Kalau benar Islam terancam, saya yakin hari ini orang sudah bangkit untuk menentang kerajaan. Kita bulatkan tekad, kuatkan semangat. Pastikan pada 12 Ogos nanti kita pangkah calon BN-PH untuk membentuk kerajaan Negeri Kelantan,” katanya lagi.
Turut hadir ke majlis ini ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; para pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan seluruh kepimpinan UMNO negeri. – UMNO Online