PRN: Kerajaan Negeri Dan Pusat Harus Seiring, Pilih ‘Kalih Bagi Sama’ – Hisham Suhaily
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Barisan Nasional (BN), Hisham Suhaily Othman menjelaskan semasa pemerintahan BN di Negeri Kedah, Langkawi tidak terkecuali mendapat manfaat dari kerajaan pusat.
Jelasnya, pembentukan kerajaan Pusat dan negeri perlu seiring bagi memastikan segala pembangunan untuk rakyat dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.
“Langkawi terutamanya di Ayer Hangat mendapat perhatian yang khusus dari kerajaan negeri dan pusat pada zaman BN. Pembangunan yang melimpah ruah diterima terutamanya bantuan air, elektrik, rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat), pembesaran lapangan terbang serta prasarana yang lain.
“Banyak kemudahan yang terdapat di Langkawi tetapi kini semakin hambar dan tidak dapat perhatian yang lebih. Kerajaan negeri hari ini tidak ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk memberikan kemudahan dan kebajikan pada rakyat.
“Sebenarnya BN cakna kepada keperluan rakyat sama ada golongan pertengahan, kurang mampu dan sebagainya. Kita akan bantu rakyat yang susah dan sekiranya menang di DUN Ayer Hangat maka rakyat akan merasai nikmat kehidupan sepertimana wakil rakyat BN terdahulu,” katanya kepada UMNO Online.
Hisham yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia berikrar sekiranya diberikan mandat menjadi wakil rakyat Ayer Hangat maka beliau akan terus memperkasakan lagi sektor pelancongan.
“Sekiranya diberikan mandat menjadi wakil rakyat di DUN Ayer Hangat, saya akan terus memantapkan lagi sektor pelancongan kerana pelancongan dapat merancakkan dan menjana ekonomi seterusnya rakyat Langkawi mendapat pulangan dari pusat.
“Apabila ekonomi kukuh, ramai yang datang melancong di Ayer Hangat dan Langkawi maka masyarakat di sini akan menerima pulangan dan manfaatnya. Dalam masa yang sama prasarana-prasarana harus dibangunkan terutamanya di kampung-kampung kerana ramai yang daif kemiskinan,” katanya lagi.
Tambahnya menyokong slogan ‘kalih bagi sama’ kerana mempunyai titik persamaan iaitu mahu memastikan Kedah dipimpin kerajaan yang sama dengan Persekutuan.
“Saya sangat bersetuju dan menyokong slogan ‘kalih bagi sama’ bermakna kerajaan negeri dan pusat sama maka ramai yang akan menerima bantuan, peruntukan dan urusan yang mudah kerana ‘geng’.
“Sekiranya tidak ‘geng’ ianya cukup bermasalah disebabkan tidak sehaluan dengan pusat. Sekiranya rakyat nak dapat manfaat dan segala kenikmatan yang sama sepertimana di Pusat.
“Kita semua kena ‘pikiaq betui-betui’ dan nak pilih siapa? Siapakah yang jadi wakil rakyat bagi DUN Ayer Hangat? Kepada semua rakyat Langkawi khususnya di Ayer Hangat untuk ‘kalih bagi sama’ dan undi BN bagi membentuk kerajaan negeri sama kerajaan Persekutuan,” jelas beliau lagi. – UMNO Online
Jom ikuti media sosial calon BN bagi DUN Ayer Hangat ini:
Facebook: Hisham Suhaily Othman II
TikTok: hso_7777
Instagram: hishamsuhaily