Semua Calon UMNO Bagi PRN Kedah Mampu Tarik Sokongan Pengundi

PADANG TERAP, 23 Julai – Semua calon yang ditampilkan UMNO Kedah diyakini mampu menarik sokongan pengundi dan merupakan individu yang boleh diterima rakyat.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, calon yang dipilih telah disaring dan dibuat tinjauan tahap penerimaan oleh rakyat, sebelum menyerahkan nama mereka kepada kepimpinan pusat untuk dinilai dan diputuskan.

Calon yang dipilih juga tidak hanya diterima dalam parti sahaja, sebaliknya turut perlu memiliki hubungan baik dengan rakyat setempat.

“Kami menetapkan kriteria bahawa individu yang nak dicalonkan itu tidak hanya perlu diterima dalam kalangan ahli parti, malah mendapat sokongan rakyat. Sebabnya yang nak mengundi nanti bukan hanya ahli Barisan Nasional (BN) saja malah kita perlukan sokongan orang lain juga untuk menang.

“Jadi calon itu perlu diterima bukan saja dalam, malah luar parti. Kita nilai juga pengalaman dan penglibatannya dalam bidang kemasyarakatan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Setelah melalui penilaian dan tinjauan itu, maka inilah calon-calon yang kita tonjolkan dengan ada antaranya sangat aktif dengan NGO, golongan profesional serta bekerja dengan syarikat multinasional. Dari situ, terbentuklah kombinasi antara ‘orang lama’ dan baharu yang diumumkan kelmarin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Padang Terap di Pejabat UMNO Bahagian tersebut di Kuala Nerang, dekat sini, hari ini.

Dalam senarai diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi kelmarin, lebih 10 muka baharu ditampilkan UMNO Kedah untuk bertanding 15 kerusi DUN dengan kedua-dua penyandang kerusi parti itu di Kedah sebelum ini, Datuk Suraya Yaacob serta Datuk Norsabrina Mohd Noor turut tidak dicalonkan.

Mengulas lanjut Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, setakat ini pihaknya menerima maklum balas baik dalam kalangan ahli parti mengenai calon-calon yang diketengahkan itu.

“Mungkin ada sikit-sikit isu individu dijangka bertanding, tak dicalonkan tetapi itu perkara biasa. Dalam memastikan parti menang, kita tetap perlu memberi sokongan penuh kepada calon-calon yang sudah diputuskan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri memaklumkan, BN dan Pakatan Harapan (PH) akan memperkenalkan calon kedua-dua gabungan itu di Kedah di atas pentas sama, dalam satu majlis tidak lama lagi.

Pada majlis itu juga, BN dan PH katanya akan melancarkan manifesto bersama untuk dilaksanakan di negeri ini, sekiranya mereka diberi mandat oleh rakyat.

Mahdzir turut mengesahkan kerusi DUN Tanjung Dawai akan ditandingi oleh BN dan calonnya akan diumumkan pada majlis pengenalan calon itu nanti.

“Majlis itu mungkin akan diadakan beberapa hari sebelum penamaan calon. Pada majlis itu juga, kita mungkin akan mengumumkan calon Tanjung Dawai yang masih belum diumumkan lagi,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.