PRN: Setia Bersama Perjuangan, Teruskan Tekad Untuk Kejayaan Demi Agama, Bangsa, Negara – Norsabrina

BANDAR BAHARU, 22 Julai – Ahli-ahli UMNO khususnya para pengundi yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan diseru untuk terus setia bersama perjuangan parti agar kejayaan mampu dimiliki oleh Barisan Nasional (BN).

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata demikian berikutan PRN yang bakal dilaksana di enam negeri termasuk Kedah pada 12 Ogos depan.

Beliau yang merupakan penyandang DUN Bandar Baharu selama dua penggal sebelum ini tidak menjadi calon dalam PRN tersebut.

“Saya mahu mengajak sahabat-sahabat setia bersama perjuangan, kita teruskanlah selekoh terakhir kita ini dengan tekad demi agama, bangsa dan negara, agar kejayaan mampu dimiliki oleh BN-PH pada PRN kali ini.”

Ujarnya, beliau maklum berkaitan calon baharu untuk DUN Bandar Baharu dan memahami keputusan kepimpinan tertinggi.

“Saya sedia maklum tidak dicalonkan dimana-mana kerusi BN bagi PRN Kedah kali ini. Saya sedar bahawa amat sukar keputusan ini dibuat oleh pimpinan lebih-lebih lagi dalam keadaan UMNO perlu ‘struggle battle’, ‘do or die’

“Maka, saya menganggap keputusan ini adalah suatu pilihan di antara beberapa strategi bagi BN-PH Kedah memenangi PRN kali ini.

“Saya menerima seikhlasnya keputusan ini dan percaya bahawa lebih besar hikmah akan diperoleh kerana tunjang kita berorganisasi adalah ‘taat dan wala’ kepada kepimpinan,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.

Walau bagaimanapun, kata Norsabrina, PRN kali ni parti memiliki tugas paling mencabar iaitu untuk menguasai 55 peratus pengundi Kedah di kalangan anak muda yang berumur 40 tahun ke bawah.

“Perspektif dan naratif yang perlu dibawa mesti selari bersama kewibaan UMNO Kedah terutama calon-calon yang bakal ditonjolkan nanti. Saya percaya ianya mampu diterjemahkan dengan baik pada 12 Ogos 2023 nanti.

“Perancangan manusia hebat tetapi perancangan Allah jua yang terbaik. Manusia membuat pilihan, Allah SWT mentakdirkan, Saya redha atas ketentuan ini. Teruskan perjuangan,” katanya lagi.

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan senarai calon BN bagi mendepani PRN yang akan membabitkan Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan serta Kedah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRN serentak di enam negeri pada 12 ogos, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Untuk rekod seramai 9,773,571 pemilih terlibat dalam PRN kali ini mengikut data terkini Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.