PRN: Calon BN Diumum Malam Ini
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) malam ini di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini.
Pengumuman calon tersebut diadakan secara serentak bagi enam negeri yang bakal diadakan PRN iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang.
Senarai nama calon akan diumumkan sendiri oleh Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dijadual turut hadir ke majlis berkenaan juga adalah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; serta kepimpinan tertinggi parti-parti komponen UMNO, MCA, MIC serta Friends of BN.
Menerusi PRN ini, BN julung kalinya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atas nama Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.
BN akan menampilkan calon-calon daripada UMNO berikutan parti komponennya, MIC dan MCA mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada 12 Ogos ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRN serentak di enam negeri pada 12 ogos.
Manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
Terengganu juga bakal menyaksikan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada tarikh sama.
Untuk rekod seramai 9,773,571 pemilih terlibat dalam PRN kali ini mengikut data terkini Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun lalu. – UMNO Online