PRN: Rakyat Perlukan Pemimpin Bertanggungjawab Bukan Sekadar Berdoa Sahaja – Dr Fathul Bari

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Rakyat sebenarnya mahukan pemimpin yang memimpin dan mendengar denyut nadi serta permasalahan mereka, demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Katanya, tanpa menafikan kealiman seseorang, apa yang utama adalah setiap pemimpin perlu melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

“Saya tak kata rakyat tidak memerlukan seseorang pemimpin yang alim, tokoh ilmuan dan itu adalah perlu… tapi tokoh ilmuan yang macam mana.

“Adakah itu yang berterusan rakyat nak? Nak pemimpin yang pandai berdoa, bercakap berkenaan agama, mengemukakan hadis-hadis Nabi dan ayat di dalam A-Quran tetapi tanggungjawab pada rakyat tidak dilaksanakan… ini yang tidak mahu.

“Kita mahukan pemimpin yang tanggungjawab pada rakyat itu amat besar dan bukannya hanya sekadar berdoa saja. Saya bimbang situasi ini berterusan dan sebab itu UMNO melakukan gerak kerja serta menyakinkan pada rakyat bahawa selama ini tetap beri bantuan walaupun kalah dalam pilihan raya,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Tambah Fathul Bari, perubahan dalam dunia politik adalah perkara biasa cumanya prinsip mengekalkan keadilan, kestabilan dan memfokuskan kepada kebajikan rakyat itu adalah keutamaan sekarang.

“Adakah kita mahukan negara ini terumbang-ambing dengan ketidakstabilan politik? Kenapa tidak berikan peluang kepada kepimpinan yang ada sekarang.

“Ini baru beberapa bulan kepimpinan kerajaan sekarang dan perlu lebih masa untuk menilai. Sekiranya tidak adil memberi tempoh yang pendek untuk memberikan satu hukuman demi ‘target’ perubahan dalam tempoh yang terdekat,” katanya lagi.

Justeru kata Fathul Bari lagi, dengan kerjasama yang dijalinkan diharapkan masyarakat dapat menjaga tingkah laku dan menjaga sensitiviti.

“Kita minta semua pihak menjaga tingkah laku dan kata-kata yang hendak diungkapkan. Tentunya ada sensitiviti dan telah gariskan perkara-perkara yang menjadi asas kepada gerak kerja pilihan raya.

“Prinsip perjuangan parti harus dijaga bagi memastikan rakyat dapat melihat tidak ada kontradiksi dalam kempen pilihan raya. Mudah-mudahan ianya akan diterjemahkan dalam gerak kerja Pilihan Raya Negeri (PRN),” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.