Generasi Muda Semakin Celik Dan Tidak Taksub Persepsi – Hilmi Elias

 

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Generasi muda tidak mempunyai masalah mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kata Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang Mohd Hilmi Elias.

Beliau berkata ini kerana generasi muda kini semakin celik politik, matang dan tidak taksub mana-mana parti politik tempatan berikutan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH dalam membentuk Kerajaan Perpaduan.

“BN harus memastikan sokongan gelombang anak muda ini berpihak pada BN dan PH. Golongan anak muda ini bukannya taksub terhadap mana-mana parti politik dan mereka lebih melihat perkara kepada satu sudut jangka pendek.

“Manifesto yang bakal dilancarkan oleh BN dan PH akan memainkan peranan penting untuk mempengaruhi golongan anak-anak muda supaya lebih memikirkan tantang masa depan yang terbaik untuk diri mereka sendiri,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Hilmi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata Pemuda UMNO tidak akan membiarkan segala tohmahan dan persepsi rekaan terhadap parti itu sampai kepada masyarakat dan harus menyerang.

“Semestinya Perikatan Nasional (PN) menggunakan berbagai persepsi dan tohmahan masa PRN nanti. Pemuda UMNO akan mengambil pendekatan untuk menangkis hujah-hujah yang dimainkan oleh PN terutamanya isu yang melibatkan agama Islam, bangsa Melayu dan juga institusi Raja-Raja.

“Pemuda UMNO telah mendapat mandat dari Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa ‘mood’ pada PRN ini adalah ‘mood’ menyerang. Beberapa strategi telah dirancang dan menyerang PN serta mematikan hujah-hujah mereka yang lebih kepada persepsi sahaja semata-mata,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama kata Hilmi lagi, ini adalah pertama kali gabungan BN dan PH berkerjasama bagi hadapi PRN Pulau Pinang serta negeri-negeri yang lain dan mahu melihat sokongan akar umbi tentang penerimaan gabungan tersebut.

“Kita nak tengok sokongan akar umbi dan penerimaan rakyat tentang gabungan BN dan PH, semestinya mana-mana parti tidak boleh ‘declare’ mengatakan mempunyai sokongan yang jitu kerana ianya akan menjadi ‘indicator’.

“Sejauh mana selepas terbentuknya Kerajaan Perpaduaan ini hampir lapan bulan dan bagaimana implimentasi rakyat kepada kerjasama yang terbentuk antara BN dan PH,” ujarnya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 12 Ogos depan sebagai hari mengundi di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang bagi PRN.

Bagi hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai manakala hari mengundi awal pada 8 Ogos ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.